• RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin

Pasti Terangkat!

Ayat 'power' kasanova berjaya cairkan tiga sahabat

ADUAN... Hana dan rakan menunjukkan laporan polis berhubung diperdaya oleh seorang kasanova.

JOHOR BAHRU: Hebatnya ayat ‘power’ seorang kasanova apabila menjerat tiga sahabat baik sekali gus sebelum mengikis barang kemas dan wang simpanan mereka untuk berjoli dan hidup selesa tanpa perlu bekerja.

Secara kebetulan, tiga sahabat berkenaan menepati kriteria ditetapkan sebelum lelaki itu menggunakan pelbagai ayat manis untuk meyakinkan mangsa dia mencintai mereka dan berhasrat mendirikan rumah tangga.

Seorang mangsa dikenali sebagai Hana, 35, berkata dia mengenali lelaki itu di Ulu Tiram pada November lalu, di mana kehadirannya mengisi kesunyian ketika mengalami krisis rumah tangga dan nyaris berpisah dengan suami.


“Lelaki itu yang berpura-pura seperti dalam kesusahan turut berkongsi kisah hidupnya yang pilu kononnya dipulau ahli keluarga dan tiada pekerjaan bagi menyara hidup.

“Dia pandai bermain kata-kata dan bersifat romantik bagi memenangi hati saya supaya percaya janji manisnya, di mana dalam tempoh beberapa bulan perkenalan itu dia pernah menyatakan hasrat mengahwini saya,” katanya.

Bagaimanapun, Hana berkata, perkara sebaliknya berlaku apabila lelaki itu mempengaruhinya untuk menyerahkan wang lebih RM2,000 secara berperingkat, termasuk barang kemas, bagi membantu setiap kali menghadapi masalah.

Katanya, pada masa sama lelaki itu memasang jerat terhadap dua rakannya iaitu ibu tunggal berusia 32 tahun dan isteri berusia 41 tahun yang ada masalah rumah tangga.

Menurutnya, lebih mengejutkan, lelaki itu juga menjerat mangsa lain yang dahagakan belaian lelaki sebelum mengikis wang mereka untuk berseronok tanpa perlu bekerja.

“Selepas kami bertiga mengetahui muslihat lelaki itu, saya pergi ke kampung halamannya dan terkejut mendengar cerita penduduk lelaki itu terkenal dengan sikap gemar menggoda wanita kesepian serta memperdaya mereka.

“Saya terkejut apabila difahamkan lelaki itu mampu memiliki dua kereta. Dia kini dikatakan menjalin hubungan dengan seorang janda anak dua di Batu Pahat. Bagi menampakkan kesegakan, dia gemar memakai cermin mata gelap serta bertopi.

“Lelaki itu sepatutnya dikenakan tindakan bagi mengelak lebih ramai wanita menjadi mangsa,” katanya yang membuat laporan polis di Balai Ulu Tiram, di sini, semalam.

Hana berkata, dia tidak menyangka lelaki itu yang menjalin hubungan percintaan dengannya turut menggoda dua rakan baik sehingga mereka berhabis ribuan wang demi lelaki hidung belang itu.

Bagaimanapun, ibu kepada tiga cahaya mata itu berkata, helah lelaki digelar Man itu terbongkar apabila dia terlihat SMS menggunakan ‘ayat power’ dihantar ke telefon rakannya yang juga bekerja sebagai operator di kilang sama.

Kelicikan Man memerangkap wanita bermasalah turut diakui seorang lagi rakan Hana, Ida, 32.

“Dalam tempoh sebulan bekerja di kilang, saya mengenali Abang Man menerusi rakan dan selesa dengan perwatakannya yang peramah serta penyayang. Dia kerap menelefon dan bertanya khabar anak,” katanya yang juga ibu tunggal.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu berkata, dia juga pernah beberapa kali keluar bersama lelaki itu yang kelihatan ikhlas ketika meluahkan hasratnya mahu mengahwininya jika anaknya bersetuju.

Katanya, lelaki itu juga pernah tinggal beberapa hari bersama keluarganya dengan alasan mahu menambat hati anak supaya memudahkannya melaksanakan tanggungjawab sebagai bapa pada masa depan.

“Saya mula yakin terhadapnya selain sanggup mengeluarkan wang hasil simpanan arwah suami bagi membantunya.

“Perancangan kami untuk membuka perniagaan sendiri, di mana Abang Man menyatakan mahu membantu saya sepenuh masa,” katanya.

Ida berkata, dia juga pernah menyerahkan sejumlah wang kepada lelaki itu yang kononnya mahu mendaftar perniagaan, selain membeli beberapa peralatan bagi membolehkan mereka beroperasi dari rumah.

Bagaimanapun, katanya, impian itu hanya hangat-hangat tahi ayam apabila lelaki berkenaan enggan menjawab panggilan setiap kali dia cuba menghubunginya.
“Ratusan kali saya cuba menghubunginya tetapi gagal dan difahamkan dia mempunyai teman wanita baru.

“Mungkin silap saya kerana mudah percaya Abang Man dan saya berjanji akan lebih berhati-hati pada masa depan,” katanya.

Seperti Ida, kasonova itu juga memerangkap Kasmah, 41, dengan modal sama iaitu berhajat memperisterikannya.

“Saya masih tidak dapat melupakan janjinya untuk mendirikan rumah tangga akhir tahun ini namun selepas kami bertiga menyedari helahnya, dia menghilangkan diri,” katanya yang masih bersuami.

Kasmah berkata, dia tidak menyangka boleh menjadi kekasih gelap kasanova itu hingga hanyut ke lembah dosa.

Menurutnya, menyedari dia menghadapi masalah rumah tangga dan suaminya bekerja di luar daerah, kasanova itu berpura-pura mengambil berat sebelum menunjukkan belang.

“Walaupun pada awalnya hubungan itu biasa saja namun lama-kelamaan saya mula jatuh hati terhadapnya.

“Saya kurang pasti sama ada dia menggunakan ilmu bagi menggoda saya dan dua rakan, namun sikap penyayangnya membuatkan saya cair sama seperti mereka,” katanya.

Kasmah berkata, dia insaf terhadap perbuatannya selepas menyedari helah kasanova itu yang mengambil kesempatan, termasuk memuaskan nafsu dan mengikis wangnya.

Dia juga terkejut apabila difahamkan kasanova itu memiliki dua kereta di mana ansuran bulanan kenderaan didakwa dibayar beberapa kekasihnya.

“Rupa-rupanya lelaki itu hidup secara mudah dengan hanya mengumpan ayat cinta pada wanita seperti kami. Saya berharap dia mendapat balasan secepat mungkin dan sedar kesilapannya,” katanya.

Kelebihan wanita sasaran kasanova 

Kelebihan pada wanita sering dijadikan senjata oleh lelaki kasanova untuk memerangkap wanita yang ingin dijadikan sasaran.

Perunding Psikologi K&A Applied Psychology Consultancy (KAPC), Khairol Anuar Masuan berkata, bahasa berbunga dan nada suara lemah lembut juga dijadikan modal lelaki hidung belang untuk menggoda wanita dalam misi mengikis wang mereka.

“Lelaki kasanova bijak menarik perhatian dan membuat perkara disukai kebanyakan wanita. Dia menggunakan kelebihan yang ada pada wanita itu untuk memancing cinta. Misalnya, selalu memuji kecantikan atau kehebatan dimiliki mangsa.

“Untuk menarik perhatian, mereka juga sering melakukan perkara kecil tetapi berkesan di hati wanita seperti sentiasa mengambil berat mengenai wanita itu, menghadiahkan kek atau bunga walaupun sekadar memetiknya di tepi jalan,” katanya.

Menurutnya, wanita perlu berhati-hati dengan lelaki seperti ini kerana jika berkahwin, dia pandai memanipulasi sesuatu seperti meminta maaf jika melakukan kesilapan.
Katanya, keadaan ini bertentangan dengan sifat lelaki normal yang lazimnya mempunyai ego tersendiri dan sukar meminta maaf kepada wanita.

Beliau berkata, tidak dinafikan, apabila usia meningkat, wanita ingin diberi lebih perhatian oleh suami.

Bagaimanapun, katanya, ramai suami ketika itu sibuk memikirkan tanggungjawab pada keluarga atau kerjaya hingga kurang memberi perhatian kepada isteri.

“Kepada wanita, jangan ikut nafsu dan berpada-pada terhadap setiap tindakan dan tingkah laku. Mereka perlu menghargai apa dimiliki dan tidak mudah terpedaya dengan kata manis lelaki yang ada niat tersembunyi.

“Mungkin mereka tidak nampak penghargaan dilakukan suami tetapi suami melakukan lebih daripada jangkaan mereka, cuma kurang peka berkaitan hati dan perasaan,” katanya.

No comments:

CPLUS

Live ONLINE

Follow p a a p a a d a by e-mail