• RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin

Artis kahwini calon menantu

SHAH ALAM – Pelakon veteran juga bapa penyanyi genit Sarah Raisuddin, Raisuddin Hamzah yang menikahi seorang gadis berusia 19 tahun di Songkhla, Thailand sebenarnya mengahwini calon bakal menantu sendiri.

Menurut bapa gadis berkenaan, Suberi Abdullah, anaknya, Siti Fatimah sepatutnya hendak dijodohkan dengan anak lelaki Raisuddin yang bernama Hamzah.

Dia berkata demikian ketika memberi keterangan dalam perbicaraan untuk membubarkan perkahwinan Raisuddin dan Siti Fatimah di Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, semalam.

Pada masa sama Suberi juga mendakwa mempunyai seorang lagi calon menantu bernama ‘Along’ yang juga anak kepada seorang doktor untuk dijodohkan dengan Siti Fatimah.

Bagaimanapun tanpa meminta restu, Siti Fatimah dan Raisuddin bernikah di Songkhla, Thailand dengan berwali hakim pada 2 Januari 2007.

Pernikahan itu sememangnya menimbulkan kontroversi setelah dia memfailkan permohonan memfaraqkan (bubar) perkahwinan itu di Mahkamah Tinggi Syariah.

Menurutnya, Siti Fatimah bermastautin di Selangor dan dia sebagai wali mujbir (orang yang paling bertanggungjawab terhadap anaknya) langsung tidak dimaklumkan mengenai pernikahan itu.

(Wali mujbir ertinya wali yang mempunyai bidang kuasa mengahwinkan anak atau cucu perempuan yang masih perawan atau dara tanpa meminta izin perempuan itu terlebih dahulu).

Menurut Mazhab Shafi’e, wali mujbir itu terdiri daripada bapa, datuk dan seterusnya sampai ke atas. Manakala wali lain seperti saudara lelaki kandung sebapa, bapa saudara dan sebagainya bukan wali mujbir iaitu tidak ada bidang kuasa memaksa perempuan berkahwin.

Suberi yang disoal peguam syarie, Roshdan Sujak Rafie berkata, dia tidak bersetuju dengan pernikahan itu kerana berasakan kedua-duanya tidak sepadan umur.

Anaknya ketika pernikahan, berusia 19 tahun manakala Raisuddin berusia 52 tahun dan sudah mempunyai isteri lain serta anak.

“Siti Fatimah tidak ada meminta izin untuk bernikah. Saya tidak tahu dia ke Songkhla kerana dia tinggal di asrama dan masih menuntut di Universiti Industri Selangor (Unisel),” kata Suberi dan mendakwa tidak pernah mewakilkan sesiapa untuk mewalikan Siti Fatimah semasa akad pernikahan itu.

Sebelum ini, mahkamah memutuskan Raisuddin ‘faraq’ perkahwinan (berpisah sementara) dengan isteri keduanya itu berhubung permohonan Suberi kerana meragui pernikahan terbabit.

Permohonan faraq itu menghalang Raisuddin dan Siti Fatimah daripada menjalani kehidupan suami isteri.

Dalam pada itu, mereka memfailkan permohonan untuk mengesahkan pernikahan di mahkamah sama.

Tahun lalu, isteri pertama Raisuddin, Noor A’ini Mohamad, 52, menyatakan persetujuan terhadap perkahwinan poligami suaminya itu.

Pada perbicaraan semalam, Raisuddin dan Siti Fatimah diwakili peguam syarie, Nor Azmi Mohd Arif dan perbicaraan di hadapan Hakim Syarie, Zainor Rashid Hassin akan disambung 23 Februari tahun depan.

No comments:

Follow p a a p a a d a by e-mail