• RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin

Nasib ‘Pengantin Percutian’

ALBUM gambar perkahwinan beralas kain baldu dan dua tiket kereta api yang tidak digunakan untuk bulan madunya kini hanya tinggalan perkahwinan Amanjyot Kaur.

Seminggu selepas majlis perkahwinan besar-besaran di sebuah perkampungan kecil di Punjab, India, suami Amanjyot yang tinggal di Montreal, Kanada, pulang ke tanah airnya dan berjanji untuk menghantarkan dokumen yang diperlukan isteri barunya bagi membolehkannya memohon visa.

Tetapi dokumen diperlukan itu tidak pernah sampai ke tangannya dan apabila Amanjyot akhirnya berjaya berhubung dengan suaminya, dia pula seolah-olah tidak kenal isterinya itu.

“Saya menulis 120 surat, membuat hampir 500 panggilan telefon untuk menghubunginya di Kanada, tetapi tiada satu pun yang membuatkan hatinya tersentuh.

“Saya benci diri saya sendiri kerana mencintai lelaki yang tidak sensitif. Dia menipu saya dan keluarga saya,” kata wanita berusia 22 tahun yang menderita masalah kemurungan teruk sejak perkahwinannya dua tahun lalu.


Ayah Amanjyot terpaksa menjual empat ekar tanah ladang untuk menampung perbelanjaan perkahwinan mewah terbabit.

Wanita itu adalah salah seorang daripada ribuan pengantin perempuan yang ditinggalkan di India oleh lelaki ekspatriat berketurunan India yang pulang ke tanah air untuk perkahwinan yang sudah diatur dan kemudian melarikan diri dengan mengaut wang hantaran bersama mereka.

Menurut satu pertubuhan politik kecil di Punjab, Parti Lok Bhalai, lebih daripada 22,000 pengantin yang ditinggalkan itu sudah membuat laporan kes jenayah terhadap pengantin lelaki bukan pemastautin India (NRI) itu.

Pengasas parti berkenaan, B Ramoowalia, mengatakan sejak 10 tahun lalu, dia sudah membantu 1,200 pengantin perempuan yang cuba mengesan jejak suami masing-masing.

“Perkahwinan adalah cara paling mudah untuk membuat duit di kalangan lelaki ini. Mereka merancang keluar dari negara ini sejurus selepas memperoleh wang hantaran.

“Bilangan sebenar tidak diketahui kerana ramai wanita daripada latar belakang konservatif bimbang ia akan memalukan keluarga jika mereka membuat aduan,” katanya.

Di India, membayar dan menerima hantaran diharamkan sejak 1961, tetapi tradisi berabad lamanya membabitkan ibu bapa memberikan hadiah wang tunai, pakaian dan barang kemas kepada keluarga pengantin lelaki terus utuh dalam masyarakat terbabit.

Amanjyot enggan mendedahkan jumlah hantaran yang diterima suaminya, tetapi angka terbabit lazimnya mencecah ribuan dolar.

Musim perkahwinan di kalangan masyarakat India berlangsung penuh meriah dengan lelaki India muda yang tinggal di Kanada, Britain dan negara barat lain kembali ke kampung halaman keluarga mereka untuk mencari pasangan apabila ibu bapa mereka mendesak anak-anak mendapatkan menantu secara tradisional.

Gadis muda pula sering berasa terdesak untuk berhijrah bagi melarikan diri daripada kehidupan kampung yang membosankan dan bercita-cita mahu tinggal di luar negara. Apapun, penyatuan pasangan itu berakhir beberapa hari saja.

“Saya sering mengimpikan untuk tinggal di negara asing. Setiap wanita mahukan suami yang baik dan keluarga bahagia, tetapi saya tak fikir saya akan mengecap kebahagiaan itu,” katanya yang masih tinggal di kampung Bilga sambil meratapi hari bahagia yang patut dimilikinya.

Digelar ‘pengantin percutian’, wanita terbabit tidak berupaya untuk berkahwin semula kerana rasa bersalah membebankan ibu bapa mereka dan sering berharap suami mereka akan bertukar fikiran dan menyelamatkan mereka.

“Tetapi ini tidak pernah berlaku. Pengantin lelaki tidak pernah pulang ke kampung, bimbang mereka akan ditangkap atau dibelasah penduduk kampung,” kata Radha Navin, pengantin yang ditinggalkan oleh lelaki berketurunan India dan Inggeris pada 2004.

Dia kini menjalankan perniagaan jahitan dengan mengupah pekerja yang juga wanita yang serupa nasib dengannya di ibu kota Punjab, Chandigarh.

“Pergilah ke mana-mana kampung di Punjab dan anda akan temui sekurang-kurangnya seorang ‘pengantin percutian’ yang tinggal bersama ibu bapa mereka atau terpaksa bergantung kepada saudara-mara untuk bantuan kewangan.

“Kerajaan perlu mengenal pasti masalah sosial yang berleluasa ini,” katanya.
Radha memaklumkan bagaimana hanya beberapa hari selepas perkahwinan mereka, suaminya berkata dia mempunyai kekasih berbangsa Eropah dan dia hanya akan membantu Navin mendapatkan visa jika dia bersetuju untuk tinggal bersama ‘wanita seorang lagi’ itu dalam rumah yang sama di Southall, London.

“Saya enggan menerima tawarannya dan membuat aduan polis, tetapi dia berjaya melarikan diri dengan merasuah beberapa pegawai polis,” katanya.

Ada pula cerita bagaimana pengantin lelaki meninggalkan India dan kemudian menuntut lebih banyak wang daripada keluarga pengantin perempuan dengan menyatakan, selagi wang tidak dibayar, si pengantin lelaki tidak akan datang mengambil pengantin perempuan.

Satu laporan oleh Universiti Punjab pada 2007 menyatakan kira-kira 25,000 wanita yang ditinggalkan pengantin lelaki di Punjab berhadapan dengan masalah sistem perundangan yang kurang adil.

Laporan itu menyarankan supaya kerajaan India menandakan status perkahwinan golongan NRI dalam pasport mereka dan menggubal undang-undang baru untuk melindungi wanita yang tidak bersalah itu.

Tetapi Radha berkata,terdapat keengganan di kalangan ahli politik di Punjab untuk menangani masalah itu kerana ramai pengantin lelaki ekspatriat yang terbabit datang daripada keluarga yang memberikan sumbangan kepada parti politik.

“Mengapa parti politik mahu mengecewakan penderma mereka. Bagi sebahagian NRI, perkahwinan bukanlah sesuatu yang membahagiakan, tetapi berkahwin semata-mata untuk wang,” katanya - AFP.

1 comment:

blog-tips-kurus said...

Nauzubillah...
selalu bersyukur jadi rakyat M'sia.
#Semoga skuad rimau menang lagi malam ni:)

Follow p a a p a a d a by e-mail