• RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin

Keajaiban 'Muiz Stuntman'

TELUK INTAN: Seorang kanak-kanak bukan saja terselamat, malah tidak mengalami sebarang kecederaan walaupun tergolek beberapa kali di atas jalan raya selepas terjatuh daripada van dipandu bapanya, malam kelmarin.

Nasib turut menyebelahi Muhammad Muiz Zaid, 7, yang tidak digilis kenderaan lain walaupun lalu lintas agak sibuk ketika kejadian kira-kira jam 10.30 malam di persimpangan Jalan Padang Tembak-Jalan Maharajalela, dekat sini.

Menurut Muiz, dia sedang bersandar di pintu belakang van apabila ia tiba-tiba terbuka.

“Saya terjatuh dan tergolek beberapa kali atas jalan serta hampir digilis kenderaan lain.

“Saya begitu takut dan hanya mampu menjerit meminta tolong. Saya tidak akan duduk di bahagian belakang lagi selepas ini dan berasa takut apabila melihat van,” kata Muiz yang juga murid tahun satu Sekolah Kebangsaan Puchong Indah, Selangor.

Bapanya, Zaid Nordin, 44, berkata ketika kejadian, dia sekeluarga yang tinggal di Puchong, dalam perjalanan ke rumah bapa saudaranya di Kampung Sungai Pergam, Bagan Datoh, untuk menghadiri kenduri kahwin saudaranya dan singgah di Teluk Intan.

“Selepas bersiar-siar di Teluk Intan, kami meneruskan perjalanan dan saya memandu seperti biasa apabila tiba-tiba dikejutkan dengan jeritan ahli keluarga mengatakan Muiz terjatuh dari van. Saya terus memberhentikan kenderaan dan melihat Muiz terpinga-pinga mencari van kami.

“Sebaik melihat kami, dia terus berlari ke arah saya dan saya memeluknya sekuat hati...syukur dia terselamat. Namun saya terkejut apabila pemeriksaan mendapati tiada sebarang kesan calar atau luka walaupun dia tergolek atas jalan raya. Bagi saya, semua itu kuasa Allah s.w.t,” katanya ketika ditemui di rumah bapa saudaranya di Kampung Sungai Pergam.

Bagaimanapun, sejak kejadian itu mereka sekeluarga sepakat untuk memanggil Muiz dengan gelaran ‘Muiz Stuntman’ kerana ‘aksinya’ seperti pelakon lagak ngeri yang selamat daripada kecederaan selepas terjatuh keluar daripada kenderaan yang sedang bergerak.

Zaid berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila pintu belakang van dipandunya terbuka secara tiba-tiba menyebabkan anak ketiga daripada empat beradik itu yang sedang bersandar padanya, terjatuh sebelum tergolek beberapa kali atas jalan raya.

1 comment:

aBidaH said...

mmg dah nsib bdk ni..

Follow p a a p a a d a by e-mail