• RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin

Sidang Parlimen Roh?

ROMPIN – Global Ikhwan Sdn Bhd (GISB) Tanjung Gemok menjelaskan ‘Sidang Parlimen Roh’ yang diadakan balu pengasas Al-Arqam, yang dikenali sebagai ‘Ummu Jah’ tidak memesongkan akidah pengikutnya.

Pegawai Perhubungan Awamnya, Ahmad Riduan Siwi berkata, terdapat salah faham serta kekeliruan pada perkataan ‘roh’ pada sidang parlimen itu memandangkan perkataan terbabit hanya merujuk kepada komunikasi secara maya.

Menurutnya, pada kebiasaannya sidang parlimen di negara ini diadakan secara bersemuka tetapi berbeza dengan sidang roh yang diadakan antara Ummu Jah dengan pengikutnya kerana menggunakan kecanggihan teknologi komunikasi terkini.

“Sidang Parlimen ini terdapat sedikit kekeliruan pada perkataan roh kerana perkataan itu bermaksud komunikasi antara Ummu Jah yang berada di Makkah dan pengikutnya di negara ini dengan menggunakan teknologi Skype.

“Maksudnya sidang ini dijalankan tanpa ada perjumpaan secara fizikal antara Ummu Jah dan kami kerana amanat yang disampaikan lebih kepada soal persefahaman, kesepakatan dan urusan perniagaan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Ahmad Riduan berkata, tidak timbul isu kononnya bekas pengikut ajaran Al-Arqam berinteraksi dengan alam roh kerana menerusi perbualan itu Ummu Jah hanya menggunakan teknologi komunikasi dan talian telefon.

“GISB banyak membuka restoran di Makkah dan Jordan, jadi bagi memudahkan segala operasi restoran, kami terpaksa mengurangkan kos dengan hanya berbual menerusi dunia maya tanpa perlu berulang-alik ke negara ini yang memerlukan kos tinggi,” katanya.

Beliau berkata, pembukaan cawangan restoran di negara terbabit bukan untuk menyebarkan semula fahaman Al-Arqam tetapi sebaliknya adalah bagi menampung kos perbelanjaan pelajar mereka yang melanjutkan pengajian di negara terbabit.

“Kami menafikan sekeras-kerasnya laporan sebuah akhbar (bukan Sinar Harian) yang menyatakan Ummu Jah mahu mengembangkan ajaran Al-Arqam di Makkah dan Jordan kerana pembukaan restoran terbabit adalah bagi menampung yuran pengajian pelajar kami di sana,” katanya.

No comments:

Follow p a a p a a d a by e-mail