• RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin

Pentas dua artis berubah

KUALA LUMPUR: “Kehidupan saya kini jauh lebih baik, semakin tenang dan mempunyai hala tuju hidup berbanding zaman muda dulu,” kata vokalis kumpulan rock Melissa, Radzi Abd Hamid mengenai penghijrahan sebagai pendakwah bebas.

Radzi, 47, bersama tiga anggota lain, Kefli Ramli (Kef) bermain gitar, Mohd Nor Razak (Ajak - bass) dan Fauzi Shah (Ozy - dram) pernah popular pada rock zaman 90-an menerusi lagu Cinta Untuk Nabila, masih terus menyanyi ketika ini walaupun berjubah, berserban dan berjanggut sejak 18 tahun lalu.

“Saya tidak pernah menyesal bersama Melissa, tetapi saya bertaubat dengan perlakuan saya dulu. Saya reda dengan perjalanan hidup yang pernah saya lalui.

“Saya berhijrah kerana didikan bapa saya (Abd Hamid Ahmad). Pernah suatu ketika, rakan bapa saya beri cadangan supaya bapa mengerjakan solat hajat memohon agar saya berubah dan alhamdulillah selepas saya berkahwin, saya ambil keputusan berhenti menyanyi dan pulang ke kampung di Jitra, Kedah,” katanya.

Bagaimanapun, tanggungjawab berdakwah tidak menghalang dia menghiburkan peminat sebaliknya dia masih aktif menyanyi ketika mengadakan ceramah di merata tempat.

“Boleh dikatakan setiap minggu, saya menerima undangan mengadakan ceramah agama di pelbagai tempat seperti di Alor Setar, Pulau Pinang termasuk Kuala Lumpur.

“Di kesempatan mengadakan ceramah, ramai sebenarnya mahu mendengar saya menyanyi semula,” katanya.

Radzi juga pernah menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah 1430 kategori Jabatan Agama Islam Kedah untuk peringkat negeri pada 2009.

Menurutnya, dia bersama tiga anggota asal Melissa akan menghasilkan album baru, Melissa 2011 yang merakam semula lagu popular, Cinta Untuk Nabila, tetapi membawa mesej ketuhanan. Sementara itu, vokalis kumpulan E.Y.E, Mohd Izam Mohd Arshad, 43, berkata, dia mengambil keputusan mengikut kumpulan dakwah pada 2003 selepas tertarik dengan penampilan serta aktiviti mereka.

“Ketika itu saya sering bertanya diri sendiri yang begitu meminati bidang nyanyian, sampai bila saya terus hidup seperti ini sehingga lalai mengerjakan suruhan Allah.

“Melihat rakan yang meninggal dunia secara mengejut juga menyebabkan saya bertanya apa akan berlaku kepada saya jika saya mati. Di situ timbul kesedaran, namun ia semakin membuak apabila melihat kumpulan tabligh datang menziarah berhampiran kediaman saya di Kota Damansara,” katanya yang ditemui, semalam.

Menurutnya, dia menyertai kumpulan dakwah itu selepas berpindah ke Pandan Indah, dekat sini, pada 2003 dan menghilangkan diri dari dunia seni.

“Walaupun, saya kini aktif dalam dakwah, namun saya tidak pernah meninggalkan kehidupan dunia, saya mencari rezeki dengan berniaga sendiri dan masih menyanyi lagu lama jika ada peminat yang meminta, selepas itu saya akan memberi tazkirah kepada mereka.

“Saya bersama anggota E.Y.E juga sudah menghasilkan sebuah album dengan konsep sama seperti dulu, tetapi lirik ketuhanan, insyaAllah, jika tiada sebarang masalah ia akan dipasarkan tidak lama lagi,” katanya.

No comments:

Follow p a a p a a d a by e-mail