• RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin

Puja pokok minta tender

MELAKA: Segelintir kontraktor yang mahu mendapatkan projek pembinaan besar dikesan sanggup menjadikan pokok di Pulau Besar sebagai tempat memohon hajat supaya berjaya membida tender kerja berkenaan.

Perkara khurafat itu didedahkan Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) yang melakukan pemantauan di kawasan dikenali Batu Belah.

Hajat yang ditulis menerusi sehelai kain atau kertas itu diikat pada ranting pokok berkenaan kononnya bagi membolehkan hajat itu dimakbulkan.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Agama Jaim, Rahimin Bani berkata, bukan setakat projek saja dihajatkan oleh individu terbabit, malah turut memohon dipermudahkan jodoh dan pekerjaan.

Katanya, hajat berkenaan ditulis atas kertas atau kain sebelum dibungkus dengan plastik dipercayai bagi mengelaknya rosak jika terkena hujan.

“Perbuatan khurafat itu mendorong sehingga begitu banyak hajat diikat beberapa ranting pokok yang terletak berhampiran kawasan berkenaan.

“Perkara ini dikesan oleh Jaim bukan baru, malah sudah berlarutan sejak tahun 90-an dan antara usaha dilakukan adalah memantau kawasan berkenaan serta membersihkannya,” katanya, di sini, semalam.

Rahimin berkata, malah bukan saja hajat ditemui apabila ada juga golongan tertentu dipercayai meletakkan perkara dipercayai berkaitan ilmu hitam atau sihir di ranting itu.

Katanya, beliau sendiri pernah menemui balutan kain dibungkus seperti kapan dan didalamnya penuh dengan jarum.

“Penemuan itu juga menggambarkan beberapa aktiviti khurafat dilakukan di situ dengan menjadikan pokok berkenaan sebagai tempat memohon hajat mereka,” katanya.

Beliau berkata, kubur dan beberapa pokok berhampiran juga turut menjadi tumpuan golongan tertentu meletakkan bahan dipercayai untuk tujuan pemujaan seperti setanggi, colok dan kemenyan.

Pihaknya turut mengesan hajat berkenaan diletakkan di dalam tabung derma di dalam surau di pulau berkenaan.

“Bukan setakat pokok itu menjadi tumpuan, ada juga lokasi lain yang turut dijadikan pihak tertentu melakukan perkara bertentangan dengan akidah,” katanya.

No comments:

Follow p a a p a a d a by e-mail