• RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin

20 vs.1

KUALA TERENGGANU - Seorang pelajar Tingkatan Lima sebuah sekolah agama di sini, cedera parah pada bahagian muka setelah dibelasah sekumpulan pelajar, dipercayai dari sebuah sekolah menengah berdekatan, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, mangsa, Wan Nur Azri Wan Mohammad dipercayai dipukul dan ditumbuk oleh kumpulan pelajar terbabit yang menceroboh masuk ke dalam kawasan sekolah melalui pintu pagar belakang.

Difahamkan, sebelum kejadian, mangsa yang sedang berehat di dalam kelas menghabiskan waktu rehat, telah didatangi oleh kumpulan pelajar terbabit yang terdiri seramai 20 orang, kononnya untuk berjumpa.

Mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa terus mengikut kumpulan pelajar itu yang mengajaknya beredar ke kawasan belakang sekolah berkenaan, iaitu di lokasi yang agak tersorok.

Difahamkan, sejurus tiba di lokasi terbabit, mangsa terus diserang tanpa belas kasihan dan kejadian itu hanya disedari oleh beberapa pelajar yang secara kebetulan melewati kawasan tersebut lalu memaklumkan kepada guru.

Menyedari kejadian itu telah diketahui umum, kumpulan pelajar terbabit terus melarikan diri dengan memanjat pagar dan berkemungkinan masuk ke kawasan sekolah mereka semula yang terletak hanya dua kilometer dari sekolah mangsa.

Mangsa yang lebam pada bahagian muka, dahi serta mengalami kecederaan pada bahagian hidung dibawa oleh guru sekolah ke wad kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk menerima rawatan.

Sementara itu, ibu mangsa, Zalina Mamat, 45, dari kampung Bukit Surau Haji Daud yang ditemui Sinar Harian di HSNZ semalam berkata, dia hanya mengetahui kejadian itu sekitar jam 11.15 pagi selepas menerima panggilan daripada mangsa sendiri.

“Pada mulanya, dia menghubungi saya menggunakan telefon rakannya dan menyuruh saya menghubunginya semula kerana ada hal penting. Sejurus menghubunginya, rakan kepada anak saya memberitahu dia cedera kerana dibelasah oleh 20 pelajar,” katanya.

Zalina berkata, walaupun keadaan anaknya dilaporkan sudah stabil, namun dia akan memikirkan tindakan seterusnya yang perlu diambil demi memastikan keselamatan anaknya selepas ini lebih terjamin.


“Saya nak tengok keadaan dulu macam mana untuk tentukan tindakan seterusnya tetapi jika boleh, saya akan usahakan untuk berjumpa dengan ibu bapa pelajar yang terlibat membelasah anak saya bagi membincangkan hal ini.

“Tindakan selebihnya saya akan serahkan kepada pihak polis serta sekolah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintenden (DSP) Ahmad Mazlan Yahaya mengesahkan menerima laporan kes tersebut dan kini masih dalam siasatan.

No comments:

Follow p a a p a a d a by e-mail