• RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin

Bunuh Anak Demi Olimpik

SYDNEY: Seorang pemain polo air berbakat Australia yang dituduh membunuh bayi perempuannya bagi membolehkan dia menumpu perhatian untuk Sukan Olimpik Sydney dihukum penjara 18 tahun, semalam.

Mahkamah mendapati Keli Lane, 35, bersalah membunuh bayinya, Tegan, pada Disember tahun lalu.

Anak itu adalah hasil hubungan Keli dengan teman lelakinya dan kehamilan itu dirahsiakan daripada semua pihak, termasuk keluarga dan rakan sepasukannya.

Dia melakukan pembunuhan itu pada September 1996.


KEJAM...Keli ketika tiba di mahkamah untuk mendengar hukuman ke atasnya, semalam.

Sambil terus mendakwa dia tidak bersalah, Keli berkata, dia menyerahkan Tegan kepada pasangannya sejurus dilahirkan dan tidak pernah menjenguknya.

Bagaimanapun, hakim Mahkamah Agung New South Wales, Anthony Whealy, mendapati Keli bertanggungjawab atas kematian Tegan.

Kata Whealy, Keli - mewakili Australia sebagai pemain polo air junior - terdesak apabila membunuh Tegan yang sehingga kini tidak ditemui mayatnya.

“Daripada semua aspek, kes ini dilihat sebagai tragedi membabitkan ibu dan anak,” katanya.

Kata Whealy, hakikat bahawa Keli memusnahkan hubungan semula jadi di antara ibu dan anak akan terus menghantui hidupnya.

Dia kemudian menjatuhkan hukuman maksimum dan tanpa parol selama 13 tahun lima bulan.

Keli mendakwa dia menyerahkan Tegan kepada teman lelakinya sebelum mereka memutuskan hubungan tidak lama kemudian.

Namun, pendakwa berpendapat Keli membunuh anak keduanya itu kerana ia mengganggu kehidupan sosial dan kerjayanya, termasuk untuk mewakili Australia dalam Sukan Olimpik 2000.

Ketika perbicaraan, mahkamah diberitahu, Keli pernah memberi anak pertama dan ketiganya kepada pasangan lain untuk dijadikan anak angkat.

Dua lagi kehamilan berakhir dengan pengguguran. - AFP

No comments:

Follow p a a p a a d a by e-mail