• RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin

Jenazah artis diusung ke wad suami terlantar

HULU KLANG: Suasana hiba menyelubungi Unit Rawatan Rapi, Hospital Ampang, dekat sini, apabila jenazah penyanyi era 60-an, Datin Orchid Abdullah diusung ke bilik wad suaminya, Datuk Mokhtar Omar yang terlantar sakit akibat komplikasi kesihatan yang serius di hospital sama.

Mokhtar, 70, yang diberi peluang menatap wajah isterinya buat kali terakhir sempat memeluk dan mencium, walaupun keadaannya lemah dan berselirat dengan wayar. Selain anak dan saudara terdekat, pertemuan itu turut disaksi teman baik Orchid, iaitu penyanyi Andre Goh.

Jenazah pengalun lagu popular, Penawar Rindu, Orchid, 64, yang menghembuskan nafas terakhir tengah hari kelmarin, selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Keramat AU1 selepas solat Asar, di sini, petang semalam.

Allahyarham yang meninggal akibat penyakit ketumbuhan hormon tidak stabil (paraganglioma) yang dihidapinya sejak tiga tahun lalu, menghembuskan nafas terakhir di sisi empat anaknya, Nur Shalina Mokhtar, 42; Md Noor Shareen, 38; Md Noor Shafri, 35, dan Nur Shafinaz, 30, kira-kira jam 12.30 tengah hari, selepas dimasukkan di Unit Rawatan Rapi, Hospital Ampang sejak Khamis lalu. Sebelum ini, Allahyarham berada dalam keadaan lemah dan hanya terbaring di atas katil sejak Oktober tahun lalu.

Anak bongsunya, Nur Shafinaz, berkata arwah ibunya dibawa ke Hospital Ampang pada jam 2 pagi pada malam Khamis lalu apabila keadaannya sentiasa menggigil dan sejuk panas bertukar ganti. Bagaimanapun, ketika itu, arwah masih sedar dan boleh bercakap.

Namun keadaannya tenat keesokannya apabila kandungan gula dalam badan menurun dengan mendadak.

“Apa yang menyedihkan, arwah tidak dapat bertemu bapa yang dimasukkan di Unit Rawatan Jantung di hospital sama akibat komplikasi kesihatan yang serius sejak seminggu lalu. Bagaimanapun, bapa tetap berkeras mahu melihat arwah buat kali terakhir.

“Dalam keadaan kehilangan ibu, manakala bapa pula terlantar sakit, kami reda dan kena tabah melalui ujian-Nya,” katanya ketika ditemui selepas majlis pengebumian, petang semalam.

Turut kelihatan pada majlis pengebumian itu ialah Datuk Yusni Hamid, Datuk M Daud Wahid, Datuk Aziz Sattar, Andre Goh, Harun Salim Bachik, Aspalela Abdullah, S Rohani, Mimi Loma, Ayathi Tasrip, Nadia Aqilah dan ramai lagi.

No comments:

Follow p a a p a a d a by e-mail