• RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin

Keluarga Pencuri

JOHOR BAHRU – Sebuah premis perniagaan yang menawarkan perkhidmatan urutan kaki di sebuah pusat membeli belah sekitar kawasan Skudai mengalami kerugian berjumlah RM1,700 apabila beg berisi wang tunai itu hilang dipercayai dilarikan pencuri.

Pekerja pusat urutan kaki itu, Saiful Ismail, 33, berkata, dia menyedari beg miliknya itu hilang dari laci paling bawah almari yang terletak di kaunter pembayaran sekitar jam 10.15 malam pada 8 Mei lalu ketika sedang bersiap untuk menutup premis perniagaan berkenaan.

Menurutnya, kejadian berkenaan turut menyebabkan salinan geran rumah, dokumen insurans kereta, slip gaji dan kunci rumah milik dirinya lesap bersama beg itu dipercayai dilarikan oleh sebuah keluarga yang didakwa berpura-pura lagak sebagai pelanggan pada mulanya.

“Sekitar jam 8.40 malam, premis ini didatangi sebuah keluarga terdiri daripada seorang lelaki dan lima perempuan berusia lingkungan 13 hingga 40 tahun bertanya kepada saya serta seorang rakan sekerja berhubung perkhidmatan yang kami tawarkan.

“Ketika sedang melayan dua orang daripadanya, empat yang lain berada berhampiran kaunter pembayaran, namun saya bersama rakan masih tidak mengesyaki apa-apa sehingga mereka meninggalkan premis lima minit kemudian.

“Bagaimanapun, saya menyedari beg berisi wang tunai dan dokumen peribadi lesap ketika sedang memeriksa kaunter pembayaran sebelum pulang,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui, di sini, kelmarin.

Saiful berkata, dia yang mengesyaki beg berkenaan dicuri keluarga terbabit segera menuju ke bilik pengawal keselamatan untuk melihat kamera litar tertutup (CCTV) bangunan bagi mendapatkan kepastian, tetapi diarahkan membuat laporan polis terlebih dahulu.

“Saya membuat laporan polis di Balai Polis Taman Ungku Tun Aminah sekitar jam 11.07 malam pada hari yang sama dan kembali semula ke pusat membeli belah untuk melihat rakaman CCTV terletak di pintu masuk bagi mendapatkan kepastian.

“Rakaman CCTV itu juga cukup jelas kelihatan menunjukkan seorang daripada enam suspek memeluk erat sebuah beg keluar dari bangunan pusat membeli belah ke arah tempat letak kereta sebelum meninggalkan lokasi,” katanya.

Selain itu, katanya, tindakan dua daripada enam individu terbabit mengalihkan perhatiannya daripada terus memerhatikan kaunter pembayaran menyebabkan dia tidak menyedari beg berkenaan dikeluarkan dari laci dan dibawa lari.

“Saya amat berharap pihak berkuasa dapat menjejaki kesemua individu yang dipercayai satu keluarga ini seterusnya dibawa ke muka pengadilan kerana tidak mahu premis perniagaan lain turut mengalami nasib sama,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Ruslan Hassan ketika dihubungi, semalam, mengesahkan pihaknya ada menerima laporan daripada pengadu dan kes disiasat di bawah Seksyen 380 Akta Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.

“Polis kini sedang giat menjalankan siasatan menjejaki suspek seperti yang didakwa oleh pengadu dan sehingga kini masih belum ada tangkapan dibuat,” katanya.

No comments:

Follow p a a p a a d a by e-mail