• RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin

Pelakon dipenjara...Sebat

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini mengekalkan hukuman penjara 30 bulan dan tiga sebatan terhadap abang kepada Zizie Ezette, Samzy Fuzette A Samad kerana memiliki 12.15 gram syabu di sebuah kondominium di Bukit Antarabangsa, Ampang, dekat sini, enam tahun lalu.

Hakim Datuk Mohtarudin Baki membuat keputusan itu selepas menolak rayuan difailkan pelakon yang pernah membintangi beberapa drama tempatan seperti Seri Istana dan ‘Cucu-cucu Atuk’.

Samzy Fuzette, 35, (pemohon) yang kini berniaga sendiri memfailkan rayuan terhadap sabitan dan hukuman oleh Mahkamah Majistret Ampang pada 30 November 2010.

Bapa kepada tiga anak yang kelihatan tenang dilihat memeluk isterinya, Sarinah Mohammad, 32, bagi menenangkan wanita itu yang menangis teresak-esak apabila mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu bermula semalam.

Terdahulu, Samzy Fuzette yang hadir memakai kemeja putih dan diiringi beberapa rakannya sempat berbisik kepada pemberita, ‘doakan saya’ sebelum mengambil tempat di kandang tertuduh.

Mohtarudin pada penghakimannya berkata, mahkamah mendapati hujah pemohon dadah ditemui di tempat kejadian diletakkan orang lain adalah keterangan terfikir kemudian.

Beliau berkata, perkara itu seharusnya dibangkitkan ketika soal balas terhadap saksi pendakwaan pada perbicaraan kes itu di Mahkamah Majistret Ampang.

Katanya, pemohon itu juga mempunyai peluang paling awal untuk menerangkan kepada anggota polis berhubung penemuan dadah di tempat kejadian, tetapi sebaliknya tidak berbuat demikian.

Menurutnya, mahkamah berpendapat hukuman dijatuhkan Majistret Aida Mastura Mohamed Aman tidak terlalu berat.

“Rayuan ditolak dan sabitan dan hukuman (terhadap pertuduhan) dikekalkan,” katanya.

Mengikut pertuduhan, Samzy Fuzette didakwa memiliki 10 peket plastik lut sinar berisi syabu seberat 12.15g, di DG-W4, Villa Ria Condo, Taman Bukit Mulia, Jalan Mulia 1/5, Bukit Antarabangsa, Ampang, jam 3.30 petang, 11 April 2005.

Dia didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh didakwa mengikut Seksyen 39A(2) akta sama.

Ia memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Pada prosiding semalam, pemohon diwakili peguam Muhammad Faiz Fadzil, manakala responden diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Rosidah Abu Bakar.

Sepanjang perbicaraan kes di Mahkamah Majistret Ampang, seramai tujuh saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan tampil memberi keterangan.

Pada masa kejadian, Samzy ditahan bersama seorang lagi artis, Baby Arin atau nama sebenarnya Lily Zarina Khalil, 31, dan lima lagi individu dalam satu serbuan di kondominium di Bukit Antarabangsa.

No comments:

Follow p a a p a a d a by e-mail