• RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin

Masyarakat dunia kagum sifat murni Asyraf

KUALA LUMPUR: “Mungkin ada hikmah dengan apa yang menimpa Asyraf di London,” kata Rossli Harun, 49, bapa pelajar Malaysia, Muhammad Asyraf Haziq Rossli, 20, yang dibelasah dan disamun sekumpulan perusuh di Barking, Timur London, 8 Ogos lalu.

Menurutnya, kini masyarakat dunia terutama di Eropah mengagumi sifat murni Asyraf sebagai rakyat Malaysia dan Muslim yang sanggup memaafkan sekumpulan perusuh yang membelasah sebelum menyamun anak sulungnya itu.

Rossli bersama isteri, Maznah Abu Mansoor, 47, dan anak bongsu mereka, Muhammad Fitri, 8, baru saja pulang ke tanah air petang kelmarin selepas seminggu melawat Asyraf di London, 13 Ogos lalu.

“Sambutan serta layanan pemimpin dan masyarakat tempatan negara itu amat baik, termasuk mereka berulang kali meminta maaf kepada Asyraf dan kami sekeluarga dengan kejadian yang berlaku.

“Mereka berasa malu dengan tindakan kumpulan lelaki yang antaranya mungkin kanak-kanak yang masih bersekolah rendah,” katanya.

Katanya, selain lega dan gembira dapat melihat sendiri keadaan Asyraf yang beransur pulih, dia dan isteri akur dengan keputusan anak sulungnya itu untuk meneruskan pelajaran di London.

“Asyraf semakin pulih, cuma dia sekarang masih tidak boleh makan makanan keras dan doktor mengatakan dia mungkin mengambil masa lima hingga enam bulan untuk pulih sepenuhnya.

“Semangatnya untuk meneruskan pelajaran di London sangat tinggi dan kami yang melihat kesungguhan itu bersetuju membenarkan dia terus berada di negara berkenaan,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai sumbangan wang ringgit yang diterima Asyraf daripada pelbagai pihak dan masyarakat dunia, Rossli berkata, setakat ini wang yang diterima mencecah STG 40,000 (hampir RM200,000).

“Asyraf akan meneruskan niatnya untuk menyalurkan wang sumbangan itu kepada pihak yang lebih memerlukan dan dia kini sedang dalam proses mencari pusat atau badan kebajikan yang bersesuaian,” katanya.

No comments:

Follow p a a p a a d a by e-mail