• RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin

Rogol jiran bawah umur


KOTA BHARU – Seorang buruh hanya mampu menundukkan kepalanya di kandang pesalah apabila Mahkamah Tinggi di sini, semalam mengekalkan hukuman 14 tahun penjara dan tujuh sebatan rotan terhadapnya bersabit kesalahan merogol gadis bawah umur, lapan tahun lalu.

Keputusan dibuat Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim selepas menolak permohonan rayuan pada pertuduhan pindaan pertama yang dihadapi Mohd Zain Deraman, 43.

“Mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap pertuduhan itu, maka rayuan kamu ditolak,” katanya.

Pada pertuduhan tersebut, bapa empat anak itu bersalah merogol kanak-kanak 12 tahun tujuh bulan yang juga jirannya itu di rumahnya sendiri di Kampung Likong, Limbat, Kubang Kerian, di sini, 20 September tahun berkenaan.

Berikutan kejadian jam 12 tengah hari itu, tertuduh ditahan dan dihadapkan ke mahkamah mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

Sementara rayuan tertuduh pada pertuduhan pindaan kedua selepas disabitkan dengan kesalahan merogol mangsa sama di rumah mangsa di kampung sama, tiga bulan selepas kejadian pertama, dibenarkan Ahmad Zaidi.

Beliau berkata, pihak pendakwaan didapati gagal membuktikan elemen kemasukan kemaluan tertuduh ke dalam kemaluan mangsa pada kejadian jam 10 malam itu.

Menurutnya, bagaimanapun pihak mahkamah menolak permohonan untuk penangguhan hukuman yang dikemukakan tertuduh melalui peguam belanya, Datuk Syukri Mohamed, semalam.

“Saya bersetuju dengan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Rehan Mat Aris bahawa tidak ada alasan istimewa yang membolehkan mahkamah membenarkan permohonan penangguhan hukuman tersebut,” katanya.

Sebelum itu, di Mahkamah Sesyen, di sini, 14 Julai tahun lalu, Mohd Zain dijatuhi hukuman penjara 14 tahun dan tujuh sebatan rotan masing-masing terhadap dua pertuduhan rogol berkenaan.

Dia kemudiannya mengemukakan rayuan dan semalam, satu pertuduhan ditolak dan satu lagi dibenarkan mahkamah

No comments:

Follow p a a p a a d a by e-mail