• RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin

SIJIL HALAL : JAKIM jawab dakwaan Presiden MCA

KUALA LUMPUR - Semua sampel produk yang diambil oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dihantar untuk tujuan analisis ke Jabatan Kimia Malaysia yang sudah mendapat akreditasi bagi skop pengujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Ketua Pengarah JAKIM, Osman Mustapha, berkata dalam melaksanakan ujian bagi sesuatu produk oleh sesebuah makmal, faktor seperti kaedah pengujian, tahap pengesanan, peralatan yang digunakan, juru analisis dan akreditasi terhadap skop pengujian, memainkan peranan yang penting dan pada masa sama mempengaruhi keputusan ujian.

"Berdasarkan faktor ini, JAKIM sehingga kini hanya bergantung kepada keputusan analisis Jabatan Kimia sebagaimana juga yang diamalkan jabatan kerajaan yang lain seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan," katanya dalam satu kenyataan berikutan kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, semalam yang mendakwa JAKIM bersikap keterlaluan dalam menangani isu berkaitan sijil halal.

Chua juga bertanya mengenai standard yang ditetapkan JAKIM, sama ada ia diterima di peringkat antarabangsa atau sebaliknya.

Osman berkata, dalam pelaksanaan sijil halal, pengambilan sampel produk atau bahan ramuan untuk diuji didasarkan kepada dua faktor iaitu berasaskan keraguan atau aduan mengenai sesuatu produk atau bahan ramuan.

Katanya, keraguan yang dimaksudkan adalah seperti penemuan positif DNA babi dalam sesuatu produk yang tidak diiktiraf, produk yang seumpamanya juga akan diuji secara rawak bagi mengelakkan keraguan dalam pemberian sijil halal.

Osman juga menjelaskan bahawa isu kekeliruan terhadap perbezaan status halal produk Golden Churn Butter antara JAKIM dan Jabatan Agama Islam Sarawak tidak timbul kerana ujian yang dilakukan membabitkan sampel dari pengimport berbeza.

Beliau berkata, dalam melaksanakan ujian kandungan DNA babi dalam sesuatu produk, beberapa faktor perlu diambil kira seperti nombor kelompok keluaran produk yang diambil, pembungkusan, tempat pengambilan sampel dan faktor lain yang mungkin berlaku semasa pengeluaran produk berkenaan dikilangkan.

"Pada masa itu faktor kemungkinan berlaku kontaminasi di peringkat tertentu juga perlu diambil kira.

"JAKIM ingin memaklumkan bahawa kedua-dua sampel yang diambil oleh JAKIM dan JAIS diambil daripada nombor kelompok dan pembungkusan yang berbeza termasuk perbezaan pengimport dan tempat pengambilan sampel," katanya.

Katanya, walaupun terdapat dua pandangan yang berbeza, JAKIM tidak menyanggahi penemuan DNA babi dalam sampel produk berkenaan yang diambil oleh JAIS kerana faktor yang sudah dinyatakan dan umat Islam di Sarawak wajar mematuhi keputusan yang dibuat oleh JAIS.

Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Hab Halal JAKIM, Hakimah Mohd Yusof, pula berkata JAKIM sentiasa menyediakan peluang untuk pengusaha berkomunikasi bagi urusan mendapatkan persijilan halal tetapi pada masa yang sama kepentingan Islam dan umat Islam tidak dikompromi sama sekali.

"Tidak ada isu sebenarnya yang dikatakan enam bulan baru boleh memohon sijil lain. Apa yang kita tetapkan ialah dengan memperbetulkan keperluan menghasilkan produk mengikut syariat dan ajukan semula kepada kami dalam tempoh enam bulan.

"Kalau pengusaha boleh menghantar permohonan dengan sudah diperbetulkan itu sebelum tempoh enam bulan itu berakhir, kita akan proses segera. Jika selepas enam bulan itu tamat, mereka perlu pohon mengikut prosedur dari awal," katanya. - Bernama

No comments:

Follow p a a p a a d a by e-mail