• RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin

Pengemis 'untung besar'

Beribu-ribu penduduk miskin dari seluruh pelusuk negara yang membanjiri Jakarta, Ramadan lalu untuk mencari rezeki dengan mengemis, meneruskan kegiatan mereka pada Syawal, berikutan ‘untung besar’ yang diperoleh, hasil kemurahan umat Islam pada kedua-dua bulan mulia itu.

Bagi mereka, Ramadan dan sambutan Aidilfitri adalah musim terbaik untuk mendapatkan ‘rezeki mudah’ kerana ketika ini umat Islam biasanya lebih pemurah dan suka menderma.

Mereka mengemis di mana saja lokasi yang difikirkan sesuai dan menjadi kawasan orang ramai lalu lalang, termasuk pusat beli-belah, pejabat dan lampu isyarat, malah tidak kurang yang sanggup berbaris di tepi jalan, semata-mata untuk mengharap simpati.

Seorang daripada mereka, Kusniwati, sanggup melakukan perjalanan sejauh 300 kilometer untuk mengemis di luar sebuah gedung perniagaan di Jakarta.

Jika bernasib baik, Kusniwati mampu memperoleh hingga AS$3.50 (RM10.40) sehari. Jumlah ini mungkin hanya cukup membayar harga secawan kopi di kafe gedung perniagaan itu, tetapi bagi pengemis sepertinya, ia agak lumayan.

“Dengan wang itu saya boleh membeli susu pekat manis untuk anak lelaki saya, malah wang itu dapat membayar harga makanan kami selama sehari,” katanya.

Firma perbankan Swiss, Julius Baer, dalam datanya melaporkan, ekonomi Indonesia mencatatkan perkembangan lebih 6 peratus tahun lalu dan republik itu berjaya menghasilkan lebih ramai jutawan berbanding negara Asia lain.

Bagaimanapun, sekurang-kurangnya 30 juta rakyat di negara itu masih berada di bawah paras kemiskinan dan perangkaan ini mewakili 12 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk Indonesia.

Jumlah penduduk miskin ini secara tidak langsung menyebabkan kerajaan Indonesia menghadapi masalah dasar untuk mencapai matlamat menjadikan negara Kumpulan 20 (G20) antara 10 kuasa ekonomi utama dunia menjelang 2025.

Walaupun kerajaan menegaskan bahawa kadar inflasi masih terkawal, kenaikan harga terutama barang makanan, menimbulkan masalah besar kepada rakyat miskin seperti Kusniwati.

Penganalisis ekonomi, Latif Adam dari Institut Sains Indonesia, berkata Kerajaan negara itu meningkatkan perbelanjaan untuk menangani kemiskinan di negara itu sebanyak tiga kali ganda sejak sedekad lalu, tetapi kadarnya hanya berkurangan enam peratus saja.

“Paras kemiskinan yang dapat dikurangkan tidak seimbang dengan perbelanjaan yang diperuntukkan. Usaha kerajaan untuk mengurangkan jurang kemiskinan antara penduduk semakin sukar berikutan peningkatan pendapatan golongan pertengahan dan kaya,” katanya.

Pada masa sama, perasaan tidak puas hati mengenai pengagihan kekayaan negara secara tidak adil semakin ketara sejak beberapa bulan kebelakangan ini, apabila pekerja lombong dan kakitangan pasar raya melancarkan mogok.

“Kemiskinan adalah masalah, ketidakadilan juga suatu masalah, namun jika anda mempunyai kerajaan yang baik dan menyediakan kemudahan sewajarnya kepada rakyat, subsidi boleh ditarik balik tanpa menimbulkan masalah besar.

“Di Indonesia masalahnya adalah berbeza. Cara pentadbiran yang lemah, menyebabkan rakyat menghadapi kesulitan apabila sesuatu subsidi ditarik balik,” kata seorang pengalisis yang enggan mendedahkan namanya. – Reuters

No comments:

Follow p a a p a a d a by e-mail