• RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin

Pasangan curi kereta sara anak

Sepasang suami isteri menjadikan kegiatan mencuri kereta di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor sebagai punca pendapatan utama untuk menyara anak lelaki mereka yang berusia lapan tahun sejak hampir dua tahun lalu.

Bagaimanapun, kegiatan haram mereka itu berakhir sebaik diberkas sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya di kawasan Pandan Perdana, di sini, 12 Oktober lalu.

Difahamkan, anak lelaki pasangan terbabit kini berada di bawah jagaan salah seorang ahli keluarga pasangan itu sebaik ibu bapa mereka ditahan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, pasangan berusia 32 dan 42 tahun itu diberkas selepas sepasukan polis mengesyaki kereta dipandu suspek dilaporkan disamun berhampiran Pandan Perdana.

“Berikutan penahanan itu, polis turut merampas pelbagai barangan iaitu komputer riba, lima peralatan elektronik, kunci kereta, pengecas telefon bimbit dan sebilah parang panjang berukuran 36 sentimeter dalam kereta jenis Proton Saga dipandu suspek.

“Hasil penemuan pelbagai barangan itu, polis menahan suspek untuk siasatan lanjut. Polis kemudian membawa suspek ke rumah mereka di Flat Pandan Perdana,” katanya ketika sidang media di Balai Polis Pandan Indah, di sini, semalam.

Menurutnya, di rumah suspek, polis menemui beberapa lagi barangan antaranya lima telefon bimbit, sembilan peralatan elektronik, tiga smart tag, satu beg peralatan curi kereta, satu beg mengandungi pelbagai jam tangan dan aksesori.

Selain itu, polis turut merampas 31 geran kereta dipercayai tulen, empat salinan kad pengenalan individu lain serta beberapa pasport negara asing dan Malaysia.

Tun Hisan berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut mengenai pemilikan geran kereta itu sama ada ia membabitkan sindiket lain.

“Hasil pemeriksaan lanjut, polis menemui sembilan kereta pelbagai jenis yang dilaporkan dicuri di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor. Kereta berkenaan diletakkan di kawasan tempat letak kereta flat itu.

“Kereta terbabit disimpan sebelum dileraikan dan dijual kepada kedai kereta potong dan alat ganti. Kita percaya ada suspek lain yang terbabit dalam kegiatan samun dan curi kereta itu, namun polis masih giat menjalankan siasatan,” katanya.

Beliau berkata, nilai rampasan berkenaan mencecah lebih RM250,000. Suspek juga dipercayai sudah terbabit dalam lebih 30 kes samun kenderaan.

Pasangan terbabit kini direman sehingga hari ini mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan bagi membantu siasatan.

No comments:

Follow p a a p a a d a by e-mail