• RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin

Ahli silap mata bukan ahli sihir

WALAUPUN kita kini berada di zaman moden, masih ada lagi yang beranggapan ahli silap mata yang hebat biasanya menggunakan ilmu hitam untuk membuat skil-skil yang mengagumkan mata umum.

Ini kerana kebanyakan persembahan mereka adakalanya melampaui logik akal, sehinggakan ada yang terfikir bahawa persembahan mereka menggunakan bantuan jin.

Namun pada hakikatnya, jika ingin menjadi seorang ahli silap mata tersohor seperti David Copperfield, ternyata ia memerlukan latihan selama berpuluh-puluh tahun untuk menguasai dunia dengan seni silap mata.

Menurut Kamus Pelajar Edisi Kedua Dewan Bahasa dan Pustaka, silap mata didefinasikan sebagai sejenis permainan yang mengelirukan pandangan orang lain atau untuk membuat sesuatu yang aneh.

Pada dasarnya, mata kasar kita akan melihat sesuatu itu sebagai perkara luar kebiasaan. Namun, jika diperhatikan dengan lebih teliti atau penghuraian muslihat mereka melakukannya, perkara tersebut sekadar illusi yang dibayangi gerak tangan yang pantas, alat-alatan khas serta latihan yang mengambil masa bertahun-tahun lamanya.

Menurut seorang ahli silap mata kelahiran Iran, Tehran, Mahdi Moudini atau nama sebenarnya Mahdi Moammer, dia mempelajari seni silap mata ini sejak berumur lima tahun lagi.

Kosmo! baru-baru ini berpeluang mengadakan sesi fotografi dengan ahli silap mata yang bakal terbabit dengan acara Magical 1Malaysia Festival yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur Convention Centre dari 23 hingga 25 Mac itu.

"Semasa umur saya tiga setengah tahun, saya sering melihat bapa melakukan silap mata kepada ibu saya di rumah. Justeru sejak itu, perasaan ingin tahu mula membuak dalam diri. Saya ingin tahu, bagaimana bapa melakukannya dan apa sebenarnya yang disimpan dalam koceknya.

"Semasa umur lima tahun, ketika itu saya benar-benar mempelajari ilmu silap mata secara profesional. Setelah berumur tujuh tahun, saya telah mengadakan persembahan silap mata saya sendiri yang pertama iaitu di tadika tempat saya belajar," imbas Mahdi yang berjaya membuat penonton terpegun dengan skilnya ketika itu.

Cerita Mahdi lagi, salasilah keturunan ahli silap mata dalam keluarganya bermula dari datuknya, Ibrahim Moudini dan diikuti ayahnya, Ismail Moudini serta 10 ahli keluarga yang lain seperti bapa saudaranya, kakak dan juga adik-beradik yang lain.


Silap mata jarak dekat

Mengungkap kisah mengenai Mahdi, dia mula menetap di Malaysia bermula tahun 1998 setelah dua tahun menjalani latihan ketenteraan di Iran semasa zaman remajanya dan bagi lelaki yang berusia 32 tahun ini, mengembangkan skilnya di Malaysia merupakan satu takdir bagi diri.

Ini kerana, setelah empat tahun tinggal di Malaysia, Mahdi bertemu jodoh dengan isterinya, Michelle yang kini menjadi pembantu pentas semasa dia membuat persembahan. Mereka dikurniakan dua orang cahaya mata, Marchellin, tiga tahun dan Prince Maddix berumur dua tahun.

Setelah hampir 27 tahun mempraktikkan ilmu silap mata, Mahdi bukan sahaja dikenali di Malaysia, malah dia juga merupakan seorang ahli silap mata yang diiktiraf dunia dan Mahdi juga pernah diiktiraf sebagai ahli silap mata yang membuat skil paling pantas di rantau Asia suatu ketika dahulu.


KREDIBILITI seseseorang ahli silap mata menurut Mahdi diukur berdasarkan tempoh latihan yang dijalaninya.

Bercerita lanjut mengenai jenis silap mata, ada dua jenis silap mata yang perlu diketahui ahli silap mata. Pertama, silap mata dari jarak dekat (close up magic) dan yang keduanya, illusi pentas (stage illusion).

Bagi silap mata jarak dekat, ia memerlukan skil yang yang tinggi dan perlu cekap serta pantas gerakan tangan melakukan skil-skil silap mata.

Namun, bagi melakukan skil illusi pentas pula, kebiasaannya ahli silap mata akan menggunakan bantuan peralatan di atas pentas seperti yang sering kita lihat di kaca televisyen. Kadangkala, mereka menggunakan peralatan yang canggih dan besar dari segi saiznya.

"Bagi pendapat saya, skil close up magic lebih penting untuk dipelajari kerana jika anda merupakan seorang close up magician yang cekap dan baik, maka anda akan dapat menguasai skil stage illusion dan beraksi di atas pentas dengan baik juga," bicara Mahdi yang sering membuat persembahan di majlis-majlis korporat di Malaysia.

Ingin membuang tanggapan negatif segelintir masyarakat, semasa ditemuramah, Mahdi berkali-kali menegaskan bahawa dalam dunia silap mata, tidak pernah menggunakan sebarang ilmu sihir.

Bantuan jin

Ada juga yang masih tertanya-tanya adakah ahli silap mata terkenal dunia kelahiran Rusia, David Copperfield menggunakan bantuan jin atau ilmu sihir untuk melakukan sesetengah skil yang dilihat sangat mustahil jika diikut logik akal.

Cerita Mahdi serius, ilmu sihir adalah perkara mustahil dalam dunia silap mata kerana baginya, David Copperfield sememangnya seorang ahli silap mata tegar.

"David sememangnya mempunyai latar belakang silap mata, dan jika anda hendak tahu, setiap hari David akan praktik dan membuat latihan selama 18 jam dan selama minimum 20 tahun lamanya. Barulah ketika itu, dia boleh menjadi David Copperfield yang kita kenali kini," katanya.

Tambah lelaki berambut perang ini, secara logiknya, jika sememangnya mereka menggunakan ilmu sihir, tidak perlu untuk membuang masa berlatih sehingga berpuluh-puluh tahun untuk menjadi seorang ahli silap mata yang handal.

"Namun kadangkala apa membuatkan masyarakat berfikir kami menggunakan ilmu sihir kerana kecanggihan skilnya.

"Sebenarnya kesemua itu adalah hasil dari praktis selama bertahun-tahun lamanya. Bak kata pepatah Inggeris, practice makes perfect. Itu satu perkataan yang saya boleh katakan terhadap dunia silap mata," tegas Mahdi.

No comments:

Follow p a a p a a d a by e-mail