• RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin

Paul Hunn...Sendawa sekuat enjin pesawat

 Paul Hunn

BUNYI sendawa boleh menjadi satu perkara yang memalukan tetapi sebaliknya bagi Paul Hunn. Ini kerana tabiat bersendawa membolehkan lelaki dari London, England itu memecahkan rekod dunia.

Guinness World Records telah mengiktiraf Hunn sebagai lelaki yang mempunyai bunyi sendawa paling kuat di dunia.

Kekuatan bunyi sendawa Hunn ialah 109.9 desibel iaitu bersamaan bunyi pesawat Boeing 737 yang sedang mendarat di lapangan terbang. Kekuatan bunyi pesawat itu adalah antara 90 hingga 110 desibel.

Hunn memecahkan rekod itu pada 3 Ogos 2009 di Butlins, Bogner Regis, Britain.

Sendawa sekuat kapal terbang itu membolehkan bekas kerani akaun sebuah firma guaman itu meraih populariti.

Dia membangunkan laman web www.theburperking.com yang khusus untuk menceritakan pengalamannya melakukan aksi pelik itu di beberapa buah negara.

“Dengan bersendawa sahaja, saya telah menjelajah Jerman, Australia, Jepun dan Amerika Syarikat untuk membuat persembahan.

“Malah, saya sering diundang untuk melakukan pertunjukan pada majlis tertentu di tanah air saya,” katanya.

Pelapis

Peminat kelab bola sepak Arsenal itu gemar bersendawa dengan kuat sejak usia kanak-kanak lagi.

“Saya selalu memasuki pertandingan dan pemenangnya pastilah saya. Untuk mahir dan lebih berkesan saya akan berlatih sendawa di rumah. Ayah tidak menyukai perbuatan saya itu.

“Tetapi sekarang saya yakin dia bangga dengan saya,” katanya.

Lelaki penggemar minuman bergas dan masakan pedas itu masih mengingati peristiwa dia dipaksa menyertai pertandingan sendawa oleh abangnya yang bernama Scott.

“Pada awal tahun 2000, Scott mendengar siaran radio Capital FM di London. Juruhebahnya, Steve Penk memberitahu, mereka sedang mencari lelaki yang boleh memecahkan rekod bunyi sendawa paling kuat di dunia.

“Saya bukan sahaja menjadi peserta pertandingan itu malah memenanginya dengan mengatasi rekod dunia,” ujarnya.

Kini, Hunn sedang melatih anak perempuannya, Leah untuk menjadi pemegang rekod sendawa terkuat bagi kategori wanita pula.

“Leah cukup bersemangat. Saya yakin dengan latihan dan tunjuk ajar saya dia akan mengikut jejak langkah ayahnya,” jelas Hunn.

Apakah petua yang Hunn amalkan?

“Saya sering makan makanan pedas selain banyak minum minuman bergas. Semasa pertandingan pula, saya akan membiarkan perut kosong sehari sebelum dan minum banyak minuman bergas,” katanya.

Beliau juga memberitahu dia akan membongkokkan sedikit badannya sebelum bersendawa.

Walaupun gemar dan bangga dengan perbuatannya itu, lelaki ini mengakui sering mengalami sakit perut dan tekak.

Malah, isterinya, Layla juga kurang senang dengan ‘keistimewaannya’ itu.

No comments:

Follow p a a p a a d a by e-mail