• RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin

Laki lari lepas bini muflis

Perkahwinan seorang wanita tempatan dengan lelaki dari China hanya bertahan kurang setahun sebelum suaminya lari dan dipercayai pulang semula ke negara asalnya selepas wanita itu diisytiharkan muflis.

Lebih teruk lagi, Amy (bukan nama sebenar), 38, bukan setakat lebur RM200,000, malah menanggung hutang kereta mewah yang dibuat atas namanya, hutang along bernilai RM600,000 yang dipinjam suaminya serta kehilangan rumah bernilai RM400,000 apabila dijual suaminya.


Menurut Amy, dia mengenali suaminya, Jackie, 42, ketika berkunjung ke China atas urusan perniagaan kerana mengimport barangan perniagaan dari negara itu.

Sejak situ, hubungan mereka rapat berikutan Jackie kerap menghubunginya sebelum mereka berkahwin selepas lelaki berkenaan memaklumkan akan membuka perniagaan di negara ini.


“Jackie memang bukan jenis suka mengambil kesempatan, selain pandai mengambil hati. Oleh kerana kerap berhubungan, kami semakin rapat dan berkahwin empat bulan kemudian,” katanya.


Menurut Amy, sepanjang berkahwin dengan Jackie, hubungan mereka baik dan tidak pernah bergaduh hinggalah dia mengetahui suaminya menipu duitnya dan berjudi.


“Sebelum berkahwin, saya bertanya mengenai perniagaannya di China, tetapi Jackie memaklumkan sudah menjualnya kepada rakan perniagaan.


“Sebagai bukti hasil dia menjual perniagaannya, Jackie membiayai sepenuhnya majlis perkahwinan kami dan ia menguatkan kepercayaan saya terhadapnya,” katanya.

Malah, dua bulan selepas berkahwin dan menetap di negara ini, Jackie membawanya ke sebuah bangunan yang dikatakan untuk menempatkan operasi syarikat yang bakal dibina.


Namun, operasi syarikat itu tidak dapat dijalankan dengan alasan kekurangan modal bagi membiayai gaji pekerja serta mengimport barangan dari China.


“Dia tidak pernah meminta daripada saya, sebaliknya sering mengadu kononnya sukar memulakan perniagaan di negara ini kerana kos tinggi.


“Oleh kerana kasihan, saya keluarkan duit simpanan perniagaan bernilai RM50,000 bagi membolehkan dia menjalankan perniagaan,” katanya.


Amy berkata, boleh dikatakan hampir setiap bulan Jackie mengeluh kononnya perniagaan kurang mendapat sambutan, menyebabkan dia kekurangan duit untuk membayar gaji pekerja.


Kerana itu juga, ada ketika dia memberi antara RM4,000 hingga RM8,000 kepada Jackie kerana masalahnya dan sepanjang berkahwin, hanya tiga kali suaminya memberi duit kepadanya yang semuanya berjumlah RM13,000.


“Itu setiap bulan, kadangkala ada masa saya beri RM20,000 hingga RM30,000 kepadanya apabila dia mengatakan tidak cukup duit untuk membayar sewa bangunan syarikatnya.


“Setiap kali dia mengadu masalah, hati saya cepat kasihan, terutama memikirkan kesanggupan Jackie menjual perniagaannya di China semata-mata untuk berkahwin dan menetap dengan saya,” katanya.


Malah, boleh dikatakan setiap kemahuan Jackie dituruti apabila suaminya meminta dia memohon pinjaman untuk membeli kereta mewah bagi kegunaan dirinya, selain mencagar rumah bagi mendapatkan pinjaman untuk meluaskan syarikat.


“Sebenarnya mungkin silap saya tidak memeriksa aktiviti Jackie. Saya terus percaya kepadanya apabila dia sekadar menunjukkan bangunan yang ingin dijadikan pejabat bagi menjalankan perniagaan.


“Saya hanya tahu ditipu apabila Jackie tidak balik ke rumah hampir seminggu dan selepas puas mencari, saya dimaklumkan dia pulang semula ke China dan diceraikan apabila berjumpa dengannya di China,” katanya.


Bukan setakat itu saja, sebaik bersedih dengan nasib yang menimpa, sekali lagi dia dirundung malang apabila dimaklumkan suaminya berhutang RM600,000 dengan along kerana judi serta diisytiharkan muflis selepas gagal membayar balik pinjaman kereta mewah serta wang cagaran rumahnya.


“Ini pengajaran kepada saya kerana terlalu mempercayai orang lain tanpa mengetahui latar belakangnya. Saya tidak tahu dia berjudi dan langsung tidak pernah menjalankan perniagaan,” katanya.

No comments:

Follow p a a p a a d a by e-mail