• RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin

Orang Islam ditindas di Eropah

Penduduk Islam di Eropah berdepan diskriminasi terutama dalam bidang pendidikan dan pekerjaan kerana mengamalkan ajaran agama mereka, kata kumpulan hak asasi, Amnesty International semalam.

Dalam laporan yang memberi tumpuan kepada Belgium, Perancis, Belanda, Sepanyol dan Switzerland, Amnesty menggesa kerajaan Eropah berusaha lebih untuk mencabar pandangan negatif serta prejudis terhadap Islam.

Laporan itu mengkritik negara terbabit yang mengharamkan pemakaian menutup muka atau memakai simbol agama ke sekolah.

“Daripada menangani prejudis itu, parti politik dan pegawai awam sebaliknya selalu menggalakkan pandangan negatif itu bagi mendapatkan undi.

“Wanita Islam dinafikan pekerjaan dan budak perempuan dilarang menghadiri kelas kerana memakai tudung. Lelaki boleh berdepan masalah sama kerana menyimpan janggut yang dikaitkan dengan Islam,” kata Pakar Diskriminasi Amnesty International, Marco Perolini.

Laporan Amnesty dikeluarkan dua hari selepas pergerakan antipendatang, National Front, mencapai sokongan dalam pusingan pertama pemilihan presiden Perancis, dengan 18 peratus pengundi menyokong pemimpin parti itu, Marine Le Pen.

Laporan berkenaan, yang bertajuk Pilihan dan Prejudis: Diskriminasi terhadap umat Islam di Eropah, menyatakan perundangan yang tidak membenarkan diskriminasi dalam pekerjaan tidak dilaksanakan dengan sempurna di Belgium, Perancis dan Belanda.

Majikan dibenarkan mengharamkan simbol agama dan budaya atas dasar ia boleh mengganggu pelanggan atau rakan, atau ia bertentangan dengan imej korporat syarikat atau ia sepatutnya bersifat berkecuali.

Amnesty berkata, ia jelas bertentangan dengan undang-undang Kesatuan Eropah (EU).

“Perundangan EU yang melarang diskriminasi atas dasar agama atau kepercayaan dalam pekerjaan nampaknya tidak dihiraukan di seluruh Eropah, kerana kami mendapati kadar pengangguran tinggi di kalangan umat Islam,” kata Perolini.

Keadaan itu semakin ketara di kalangan wanita Islam warga asing.

Dalam dekad lalu, pelajar dilarang memakai tudung atau pakaian tradisi lain di negara termasuk Sepanyol, Perancis, Belgium, Switzerland dan Belanda, kata Amnesty.

Kumpulan berkenaan turut mengkritik Switzerland kerana melarang pembinaan menara baru masjid pada 2009. Ia berkata, di wilayah Catalonia di Sepanyol, ramai umat Islam terpaksa bersolat di kawasan terbuka kerana pihak berkuasa menolak permohonan membina masjid berdasarkan ia tidak selari dengan tradisi dan budaya wilayah itu. – AFP

No comments:

Follow p a a p a a d a by e-mail