• RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin

Ugut...Pukul...Paksa pokok untuk berbuah

ORANG tua-tua percaya meleteri pokok yang liat berbuah dapat memberikan hasil yang dikehendaki.

PETANG itu, Zainah Kudus, 85, melihat-lihat empat ekor ayam kampung yang dibela di belakang rumahnya di Kampung Melaka Pindah, Alor Gajah, Melaka. Anak matanya sempat menjeling ke arah sebatang pokok rambutan yang belum berbuah.

Pokok itu ditanam bagi membolehkan anak cucunya menikmati buah rambutan apabila tiba musim buah.

Namun, walaupun sudah beberapa tahun dibaja, jangankan buah, putik pun belum muncul-muncul.

“Degil betul pokok rambutan ni. Sampai sekarang tak berbuah lagi,” getus nenek kepada 12 orang cucu itu.

Zainah teringat cerita orang tua-tua yang menggelar pokok seperti itu sebagai pokok degil. Katanya, cara untuk memastikan pokok yang telah matang itu berbuah adalah dengan memaksanya.

Zainah pernah mencuba petua itu dan ia berhasil. Namun, ia bukan menjadi pada semua pokok.

Ugut

“Mengikut amalan nenek moyang, tuan pokok akan memukul pokok yang tidak berbuah terutamanya pada malam gerhana bulan.

“Ada yang memukul pangkal dan batang pokok itu menggunakan kayu, belakang parang, selipar atau pisau.

“Sambil itu, mulut tidak henti-henti memarahi pokok itu seperti sedang memarahi seorang anak kecil. Menurut cerita orang dulu-dulu, pokok akan berbuah tidak lama selepas dimarahi dan dipukul kerana enggan ‘disakiti’ lagi,” jelasnya.

Cerita ibu kepada lima orang cahaya mata itu lagi, kadangkala ada pemilik yang akan berdiri berhampiran tumbuhan yang tidak berbuah dengan memegang parang sambil mengacah-acah untuk menebangnya.

Zainah pernah melihat bagaimana pokok kelapa jirannya berbuah selepas sebulan diacah dengan cara itu.

“Suatu ketika dahulu ada jiran saya yang berleter kerana pokok kelapanya tidak berbuah selama hampir dua tahun. Dek terlalu geram, dia mencantas sedikit pangkal pokok itu sambil memaksanya berbuah.

“Dia sempat ‘mengugut’ untuk menebangnya jika tidak berbuah lagi,” terang Zainah yang menyaksikan pokok itu mula berbuah sebulan kemudian.

Namun begitu, Zainah sempat berpesan agar orang ramai menganggap amalan itu sebagai satu kebetulan sahaja. Ini kerana, katanya, segala ketentuan atas kehendak Tuhan.

Dalam pada itu, terdapat kajian saintifik yang membuktikan bahawa alunan muzik lembut dan kata-kata perangsang yang ‘diberikan’ boleh membuatkan pokok cepat besar.

Idea bercakap dengan pokok telah diperkenalkan pada tahun 1848 oleh seorang profesor botani di Jerman, Dr. Gustav Theodor Fechner apabila beliau menyebut perkara itu dalam bukunya, Soul-life of Plants.

“Saya percaya pokok juga boleh menyerap emosi seperti manusia. Anda boleh menggalakkan pokok membesar dengan sihat dengan memberikannya kata-kata perangsang dan perhatian,” kata Fechner dalam buku itu.

No comments:

Follow p a a p a a d a by e-mail