• RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin

Unicorn suka gadis sunti

UNICORN selalunya digambarkan berwarna putih dan dipercayai mempunyai kuasa sakti.

BANYAK kanak-kanak yang menggemari cerita dongeng Barat menanggap unicorn sebagai seekor haiwan hebat.

Biarpun mempunyai sebatang tanduk runcing pada tengah-tengah dahinya, haiwan itu digambarkan sebagai penyelamat dalam banyak cerita dongeng dan rancangan animasi kanak-kanak.

Antaranya seperti watak Lila iaitu seekor unicorn berwarna ungu dalam drama animasi, Barbie Of Swan Lake. Lila digambarkan sebagai seekor unicorn yang setia menemani Barbie dalam menyelesaikan tugasannya.

Pada tahun 1982, sebuah filem animasi berjudul The Last Unicorn ditayangkan. Filem popular itu mengisahkan seekor unicorn bersama-sama seorang ahli silap mata bergabung dalam membunuh raja syaitan.

Menurut fakta, unicorn diterjemahkan sebagai seekor haiwan yang mirip lembu, rusa atau kuda yang mempunyai satu tanduk pada dahinya.

Pelukis Itali, Leonardo Da Vinci dalam satu catatannya menjelaskan bahawa, kuda tersebut merupakan haiwan yang begitu liar dan sukar didekati. Ia hanya mesra dengan gadis sunti yang berjiwa bersih.

Da Vinci menjelaskan bahawa banyak pemburu menangkap unicorn dengan berumpankan gadis cantik tersebut.

“Dengan perasaan bahagia untuk mendekati anak dara berjiwa mulia, unicorn melupakan kegarangan dan kebuasannya.

“Ia mengenepikan ketakutan lalu duduk di sebelah gadis itu dan tidur di pangkuannya. Dengan itu, pemburu mudah untuk menangkapnya,” ungkap Da Vinci dalam menjelaskan mengenai sebuah lukisan ketika di awal pembabitannya dalam bidang itu.

Pandangan Da Vinci tersebut dinyatakan menerusi lukisan yang berjudul Maiden With a Unicorn pada 1480.

Biarpun kewujudan haiwan tersebut masih belum dibuktikan sepenuhnya, namun terdapat beberapa kes haiwan mempunyai tanduk di tengah-tengah dahi.

Masyarakat di China pernah dikejutkan dengan kewujudan seekor lembu bertanduk satu pada tengah dahinya. Ramai yang menganggap bahawa ia merupakan unicorn sebenar.

Lembu itu dimiliki oleh seorang penternak lembu di daerah Hebei di utara China, Jia Kebing.

Menurut Kebing, dia menyedari perkara tersebut apabila mengesan satu benjolan kecil pada dahi lembu tersebut selepas ia lahir pada 2008. Bagaimanapun ia tumbuh sehingga sepanjang 20 sentimeter.

“Ramai orang datang ke ladang saya semata-mata mahu melihat ‘lembu unicorn’ ini. Pada mulanya saya tidak mengesyaki apa-apa, tetapi apabila ia membesar, tanduk di bahagian dahinya turut membesar,” ungkap Kebing.

Bagaimanapun kebanyakan pakar percaya bahawa mitos haiwan itu hanyalah rekaan manusia.

Seorang pensyarah budaya shamanisma, Cerridwen Fallingstar menjelaskan, orang ramai tidak perlu mempercayai kewujudan haiwan itu kerana sesiapa sahaja boleh ‘mewujudkan’ tanduk menggunakan teknologi penternakan.

“Sebelum ini sudah ada kes yang berlaku ke atas lembu dan kambing di Assyria, Iraq.

“Mereka menggunakan satu teknik untuk menolak tanduk haiwan atau ‘meletakkannya’ di tengah-tengah bagi mewujudkan sebuah tanduk yang panjang,” kata Fallingstar.

Dalam pada itu seorang pengkaji alam ghaib di Los Angeles, Amerika Syarikat, Seth Greening menjelaskan, unicorn merupakan haiwan fiksyen yang menyamai seperti kewujudan makhluk asing yang belum dapat dibuktikan secara saintifik.

“Sudah pasti objek-objek terbang (UFP) masih belum dibuktikan. Unicorn juga sama (dengan makhluk asing). Bolehkah unicorn menjadi seekor lembu?” katanya ketika mengulas mengenai lembu tersebut yang didakwa sebagai unicorn.

Pada September 2010, penduduk di sebuah kawasan pergunungan di Laos berjaya menangkap sejenis haiwan pelik yang dikenali sebagai saola.

Bagaimanapun, ia mati setelah beberapa ketika ditangkap.

Haiwan itu digelarkan sebagai Unicorn Asia kerana amat jarang ditemui. Ia digelarkan sebagi unicorn kerana hanya terdapat sebanyak 100 ekor di seluruh dunia dan fizikal yang seakan haiwan mitos tersebut.

Bagaimanapun, saola mempunyai sepasang tanduk. Ia tajam dan runcing seperti digambarkan yang dimiliki oleh unicorn.

Mamalia yang dikategorikan sebagai sangat terancam yang mula ditemui pada 1992 itu hanya boleh ditemui di Vietnam dan Laos.

Seorang ahli Persatuan Antarabangsa Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN), Dr. Pierre Comizzoli menasihati orang ramai agar memulihara haiwan terancam agar ia tidak menjadi mitos kepada generasi masa hadapan seperti unicorn yang tidak dapat dibuktikan kewujudannya.

“Pengetahuan kita yang rendah terhadap kepentingan biologi saola menjadi penghalang kepada usaha menjaga kelangsungan hidupnya.

“Kini tinggal 100 ekor saola sahaja di dalam hutan. Ia mungkin hanya ada sedozen sahaja yang tinggal selepas diburu. Situasi amat kritikal. Kita tidak mahu generasi hadapan menganggap ia sebagai haiwan mitos,” kata Comizzoli.

No comments:

Follow p a a p a a d a by e-mail