• RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin

Ada apa dengan tarikh PRU?

SEJAK merdeka, tarikh pilihan raya umum secara amalannya adalah hak mutlak Perdana Menteri, malah tarikh itu kelihatan amat misteri sehingga semua pihak membuat pelbagai ramalan, teka-teki dan tidak kurang juga memaki hamun tarikh misteri tersebut.

Apa yang menarik mengenai amalan ‘keberatan' Perdana Menteri mendedahkan tarikh misteri ini jelas memberi kelebihan besar dan elemen kejutan kepada pihak lawan sekiranya Dewan Rakyat dibubarkan secara tiba-tiba.

Jadi jentera parti kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) boleh bersiap sedia dalam tempoh tersebut sedangkan pihak pembangkang masih berteka-teki. Jika tersilap langkah dan termakan jerat permainan Umno-BN ini, padah besar buat pembangkang.

Kenapa saya mengatakan padah buat pembangkang? Kerana jika pembangkang tidak berhati-hati dan terlalu ghairah, sehingga semua ‘modal politik’ habis keluar, alih-alih Perdana Menteri tidak jadi bubar Dewan Rakyat. Jadi mahu guna modal apa lagi?

Sebagai contoh di zaman Tun Dr Mahathir Mohamad, beliau sering menjadikan tarikh pilihan raya ini sebagai strategi mengenakan pihak lawan supaya kelebihan terus berpihak kepadanya.

Seperti Pilihan Raya Umum Ke-10 pada 1999, ketika era kemuncak reformasi selepas pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim, ramai pihak menjangkakan Tun Mahathir akan melambatkan tarikh, tetapi beliau teruskan juga dan menang dua pertiga kerusi pada pilihan raya itu.

Tun Mahathir juga adalah Perdana Menteri yang sering meletakkan tarikh pilihan raya umum pada hari bekerja. Sejurus dilantik menjadi Perdana Menteri pada 16 Julai 1981, beliau tidak tunggu lama apabila mengadakan Pilihan Raya Umum Keenam pada 22 April 1982, jatuh pada hari Khamis.

Kemudian pada Pilihan Raya Umum Kesembilan 1995, Tun Mahathir sekali lagi memilih hari bekerja iaitu Isnin. Begitu juga pilihan raya umum seterusnya pada 1999, juga jatuh pada hari Isnin tanggal 29 November.

Selain itu, Tun Mahathir juga sering membiarkan pihak pembangkang terkapai-kapai menggunakan segala taktik, modal dan hujah untuk tempoh lama sehingga ‘kering kontang’, kemudian barulah jentera Umno-BN mengeluarkan segala kekuatan untuk menarik pengundi. Ternyata taktik ini terus relevan.

Begitu juga ceritanya berkenaan Perdana Menteri Kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi, saya masih ingat pada tahun 2008 dengan jelas bagaimana beliau terus berkeras menafikan Dewan Rakyat akan dibubarkan tetapi esoknya beliau sendiri yang mengadap Yang di-Pertuan Agong untuk perkenan pembubaran.

Tidak keterlaluan sekiranya rakyat meminta Perdana Menteri mengisytiharkan tarikh pilihan raya umum lebih awal, setidak-tidaknya setahun sebelum pilihan raya umum.

Ini kerana pilihan raya umum adalah perkara besar dan melibatkan banyak pihak termasuk kos yang sangat tinggi. Berlangsung pun hanya lima tahun sekali.

Di negara jiran seperti Thailand, Filipina, Indonesia sehinggalah kepada negara maju seperti Jepun, China, Britain, dan Amerika Syarikat, tarikh pilihan raya umum telah dimaklumkan sekurang-kurangnya setahun lebih awal, supaya semua pihak dapat mempersiapkan diri dan jentera sebaiknya. Ini lebih adil kepada parti-parti yang bertanding khususnya kepada pembangkang.

Jadi tarikh Pilihan Raya Umum Ke-13 yang dijangka ramai pihak pada 9 Jun nanti terus menjadi misteri apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berlepas ke luar negara malam kelmarin dan hanya dijangka pulang pada 25 Mei.

- MOHAMMAD FAIRUZ JUMAIN

No comments:

Follow p a a p a a d a by e-mail