• RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin

Air kencing artis mengandungi ganja

Mahkamah Majistret di sini hari ini sekali lagi diberitahu bahawa sampel air kencing pelakon komedi, Saiful Apek disahkan mengandungi kanabis.

Pegawai Sains Jabatan Patologi Hospital Tunku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, Rozita Abdullah, 41, berkata, ia berdasarkan bacaan ujian yang melebihi takat pengesanan untuk dadah jenis kanabis.

Selain Saiful Apek atau nama sebenarnya Mohamad Saifulazam Mohamed Yusof, 43, tiga lagi rakannya iaitu Shah Zainatul Ehsan Al-Muazam Shah Yahya, 29, Shaiful Baharom, 25, dan Noremy Mohamad, 29, turut dibicarakan atas tuduhan memasukkan dadah ke dalam badan mereka.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, Jalan LP 2A/1, Taman Putra Permai, Seri Kembangan di sini pada pukul 11 malam, 12 Jun 2010.

Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000 jika sabit kesalahan.

Ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Ishrakh Saad, yang mana lebih konklusif di antara ujian saringan dan pengesahan, Rozita menjawab ujian pengesahan lebih konklusif.

''Ini kerana ujian pengesahan yang dilakukan melalui kaedah Thin Layer Chromatography (TLC) menggunakan teknik lebih rapi, tepat dan sensitif,'' jelas saksi pendakwaan keenam itu.

Saksi itu dalam keterangannya juga menyatakan bahawa kehadiran dadah dalam air kencing individu boleh disahkan hanya melalui ujian pengesahan.

Sementara itu, ketika disoal balas oleh peguam Mohd. Fadly Hashim, Rozita dituduh memalsukan dokumen apabila keterangan salinan dokumen ujian penentukuran yang diperolehinya tidak sama dengan keterangan dalam buku rekod yang dibuat salinan fotokopi.

''Dalam salinan yang diberikan kepada saya, tiada cop pengesahan dari Jabatan Patologi, tapi dalam buku rekod itu ada. Macam mana ini boleh berlaku sedangkan ia difotokopi?

''Saya katakan puan berbohong dan telah memalsukan dokumen kerajaan,'' tegasnya.

Rozita bagaimanapun menafikan tuduhan itu dan memberitahu mahkamah yang dia tidak pasti bagaimana perkara tersebut boleh terjadi.

Katanya, salinan itu dibuat pada pagi tadi sebelum perbicaraan bermula dan dia memang tidak melakukan sebarang pengubahan sama ada di dalam buku rekod atau pada salinan itu.

Mohd. Fadly kemudian mencadangkan bahawa tiada ujian penentukuran dilakukan pada 22 Jun 2010 iaitu pada tarikh ujian pengesanan dibuat dan Rozita menjawab tidak bersetuju.

Perbicaraan di hadapan Majistret Ahmad Solihin Abd. Wahid bersambung pada 22 Mei ini.

No comments:

Follow p a a p a a d a by e-mail