• RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin

Beli kasut dapat jodoh

YIU LIN tampil dengan idea promosi yang kreatif bagi menarik perhatian pelanggan membeli produk kasutnya.

PEMILIK butik kasut Shoes, Shoes, Shoes, Yiu Lin, 32, tampil dengan konsep berbeza untuk melariskan produk kasutnya iaitu menerusi kempen ‘Shoes Dating’.

Idea itu bukan sahaja membolehkan pelanggan wanita solo membeli sepasang kasut malah mereka dapat membuat janji temu dengan lelaki berstatus bujang.

Berbicara lanjut, Yiu Lin memberitahu, beliau bekerjasama dengan sebuah agensi mencari jodoh, Lunch Actually bagi merealisasikan promosi yang telah bermula pada bulan lepas itu.

“Caranya cukup mudah, iaitu lelaki akan memberikan maklumat peribadi mereka kepada Lunch Actually. Kemudian mereka boleh memilih kasut-kasut bertanda Date Included yang mereka inginkan.

“Mereka juga boleh membayar 10 peratus sahaja daripada harga kasut tersebut,” katanya.

Kasut-kasut tersebut boleh didapati di butik kasut Shoes, Shoes, Shoes di Jalan Telawi dan Bangsar Shopping Centre.

Jelasnya, bagi wanita pula jika mereka memilih kasut yang sama dipilih oleh lelaki, mereka perlu membayar baki harga kasut tersebut.

“Lunch Actually akan mengaturkan janji temu mereka di lokasi yang sesuai. Mereka juga diberi potongan harga sekiranya membeli kasut lain di butik saya.

“Setakat ini, sambutan yang diterima sangat menggalakkan dengan lebih 100 pasangan telah melakukan janji temu mereka.

“Sama ada mereka telah merancang untuk berkahwin atau tidak saya tidak mengetahuinya kerana proses mengenali hati budi seseorang mengambil masa yang lama, bukan,” katanya.

Tutur Yiu Lin , kebanyakan peserta terdiri daripada kaum Cina dan India yang merupakan pelajar kolej, jurutera dan peguam.

Ujarnya, terdapat ramai pengguna yang bertanyakan perihal promosi unik itu termasuk dari Columbia, Britain, Afrika Selatan dan Amerika Syarikat.

Konsep pelacuran

“Ada yang sanggup datang ke negara ini semata-mata untuk mencari jodoh yang sesuai. Tetapi buat masa ini saya mempromosikan pakej ini untuk pelanggan negara ini sahaja.

“Kebanyakan pelanggan yang mengikuti program ini berumur dalam lingkungan 20 hingga 30-an,” katanya.

Setiap profil peserta akan disaring dan diteliti oleh pihak Lunch Actually bagi mengelakkan penipuan identiti dan menjurus kepada aktiviti jenayah dan pelacuran.

Wanita yang merupakan tunangan kepada pemain skuasy, Azlan Iskandar ini turut menafikan pandangan sesetengah pihak yang mengatakan ideanya itu sama seperti konsep pelacuran.

“Saya hanya menemukan mereka yang masih bujang untuk bertemu dengan pasangan yang sesuai.

“Lagipun seks sebelum berkahwin bukannya amalan penduduk Malaysia yang masih berpegang erat dengan adat-adat ketimuran,” katanya.

Yiu Lin yang berasal dari Ipoh, Perak berkata, harga kasut yang dijual untuk program itu antara RM150 hingga RM300.

Berbicara mengenai bisnes kasut, pemilik sarjana dalam bidang kewangan dari Universiti Melbourne, Australia ini secara jujur memberitahu beliau tidak menggemari bidang kewangan.

“Tetapi ibu bapa yang inginkan saya menjadi perunding kewangan, jadi saya bekerja di sebuah syarikat perunding kewangan terkenal di negara ini selama dua tahun sebelum memulakan perniagaan sejak lima tahun lepas.

“Mengapa kasut? Bagi wanita hanya dua item yang menjadi kegilaan mereka iaitu kasut dan beg tangan,” ujarnya.

Bakal berkahwin pada Disember nanti, beliau menjelajah ke beberapa negara seperti Australia, Thailand dan Hong Kong untuk mempelajari rekaan kasut serta corak pemasaran item itu.

Bercerita dengan nada lucu, anak kedua daripada dua adik-beradik ini berkata, beliau akan mencuba setiap kasut yang direkanya.

“Saya memakai lebih 2,000 pasang kasut sejak butik kasut ini dibuka lima tahun lalu. Ia ibarat mempromosi barangan sendiri.

“Kebiasaannya pelanggan mempunyai cita rasa tertentu sama ada ingin memilih kasut tumit tinggi atau rendah. Tetapi ada pengalaman lucu seperti ada pelanggan yang sayangkan kasut mereka yang telah rosak dan tidak boleh diperbaiki.

“Sedaya upaya mereka ingin saya membaikinya dan tidak ingin membeli kasut lain kerana bagi mereka kasut itu mempunyai nilai sentimental sendiri,” ceritanya.

No comments:

Follow p a a p a a d a by e-mail