• RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin

Gadis lawan dua lelaki dicampak

Tindakan berani seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun yang bergelut dengan dua lelaki di dalam kereta menyelamatkannya selepas dia dicampak keluar daripada kenderaan itu dalam kejadian Isnin lalu.

Mangsa mendakwa ‘diculik’ dua suspek ketika berjalan di hadapan sebuah surau di Taman Cheras Perdana, Kajang, untuk ke sekolahnya berhampiran kawasan berkenaan jam 7.30 pagi.

Pelajar perempuan itu bagaimanapun dicampak dari kenderaan berkenaan di hadapan sebuah pusat hiburan di ibu kota selepas bergelut lebih 30 minit dalam kenderaan itu dengan dua suspek terbabit. Menurut sumber, mangsa yang cedera di kepala dan badan dibantu seorang wanita sebelum dia dihantar pulang ke rumahnya. Mangsa membuat laporan di Balai Polis Batu 9 Cheras, di sini, kelmarin.

Menceritakan semula kejadian itu, sumber berkata, mangsa yang berjalan sendirian melihat dua lelaki turun daripada Proton Wira sebelum mereka mengheretnya masuk ke dalam kereta itu.

“Mangsa yang menjerit meminta pertolongan mendakwa ditampar berulang kali selain rambutnya ditarik dengan kuat. “Keengganan mangsa mendiamkan diri menyebabkannya dipukul kedua-dua suspek. Malah, sikap beraninya yang melawan sehingga menyebabkan berlaku pergelutan dengan suspek dalam kereta itu berbaloi apabila dia dicampak di hadapan sebuah pusat hiburan di ibu kota.

“Selepas merayau di kawasan berkenaan lebih 10 minit, mangsa bernasib baik apabila seorang wanita berusia 20-an menghulurkan bantuan selepas dirayu mangsa,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Arasa ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan siasatan lanjut dilakukan.


No comments:

Follow p a a p a a d a by e-mail