• RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin

Hamba seks dikurung 2 tahun

Lima wanita warga negara asing yang dikurung antara dua bulan hingga dua tahun untuk dijadikan hamba seks, berjaya diselamatkan Polis Bukit Aman dalam satu serbuan mengejut di sebuah hotel di Bandar Sri Damansara, malam kelmarin.

Semua mangsa berusia antara 21 hingga 39 tahun itu diselamatkan hasil kerjasama risikan dan pertukaran maklumat antara Polis Vietnam dan Polis Diraja Malaysia berhubung aktiviti sindiket pemerdagangan manusia di lokasi berkenaan.

Serbuan dilakukan jam 7.15 malam oleh sepasukan pegawai dan anggota Unit Anti Pemerdagangan Orang (ATIP), D7, Bukit Aman, selepas melakukan pemantauan selama dua hari di pusat kesihatan hotel berkenaan yang dipercayai menjalankan aktiviti pelacuran.

Ketua Unit ATIP, Deputi Superintendan Nor Omar Sappi, berkata pihaknya terpaksa menunggu hampir dua jam bagi mengesan mangsa yang disembunyikan di sebuah pintu rahsia, di tingkat dua hotel berkenaan selepas penjaga mereka mengarahkan wanita berkenaan melarikan diri apabila menyedari kehadiran polis.

“Premis itu dilengkapi sistem kamera litar tertutup (CCTV) pekerja yang memantau kehadiran polis dan sistem sekatan lif ke tingkat satu dan dua bagi menyekat atau melengahkan kehadiran polis, malah sistem yang sama juga adalah bagi mengelakkan wanita berkenaan lari dari sindiket.

“Siasatan ke atas wanita warga Vietnam, China dan Thailand ini, semua mereka dibawa ke hotel sebaik tiba ke negara ini menggunakan pas lawatan sosial, mereka dikurung dan dipaksa melayani permintaan seks dari pelanggan selain tidak pernah sekalipun keluar dari pintu hotel ini,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, seorang lelaki dan seorang wanita warga tempatan berumur dalam lingkungan 40-an ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Akta Pemerdagangan Orang 2007 bagi membolehkan pihak polis mengesan kemungkinan kewujudan rangkaian tempatan dan sindiket pelacuran di Vietnam.

Katanya, semua pelanggan rakyat tempatan yang ditahan dalam serbuan sama dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya untuk siasatan lanjut dan proses dokumentasi.

Nor Omar berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan rangkaian sindiket ini di negara ini yang turut memperalatkan wanita warga asing untuk dijadikan hamba seks di beberapa premis kesihatan, hotel bajet dan premis kediaman.

Polis juga akan memaklumkan kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya bagi memantau aktiviti hotel ini selain kebenaran lesen menjalankan operasinya yang sering diserbu kerana menjalankan kegiatan tidak bermoral.

No comments:

Follow p a a p a a d a by e-mail