• RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin

Palestin sambut Hari Nakba

Penduduk Palestin dan warga Israel keturunan Arab semalam menyambut ulang tahun Hari Nakba atau ‘Bencana’ bagi memperingati pengusiran ratusan ribu warga Palestin berikutan penubuhan Israel pada 1948.

Tunjuk perasaan diadakan di seluruh wilayah Palestin. Sementara itu, pertempuran dilapor meletus antara polis dengan penunjuk perasaan awal semalam di Issawiya, timur Baitulmaqdis.

Rejim Zionis juga melaporkan, roket yang dilepaskan dari Gaza jatuh di selatan Israel.

Tentera dan polis Israel dilapor diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga menjelang ulang tahun sambutan itu.

Sambutan berkenaan pada masa lalu sering mencetuskan pertempuran dengan tentera dan polis.

Tunjuk perasaan utama dijadual diadakan di Ramallah, Tebing Barat. Rancangan juga diatur untuk mengadakan tunjuk perasaan serupa berhampiran penjara tentera di Ofer dan pusat pemeriksaan Qalandia.

Pada masa sama, perhimpunan besar-besaran juga diadakan di Semenanjung Gaza.

Jawatankuasa Pengawasan Tertinggi Arab yang mewakili masyarakat Arab di Israel menggesa diadakan mogok umum dan mengatur lawatan ke kawasan yang dulunya perkampungan Palestin.

Dalam peristiwa 64 tahun lalu, 760,000 penduduk Palestin, yang kini dianggar berjumlah 4.7 juta orang dengan waris mereka, diusir dari kediaman masing-masing berikutan peperangan yang mengiringi perisytiharan penubuhan Israel.

Kira-kira 160,000 orang yang tinggal kini dikenali sebagai Arab Israel.

Mereka kini berjumlah seramai 1.3 juta orang atau 20 peratus daripada populasi Israel.

Jurucakap polis Israel, Mark Rosenfeld berkata, pasukan tambahan sudah dikerah untuk menghadapi sambutan Hari Nakba itu.

“Kami menyelaraskan kawalan dengan tentera dan polis sempadan dan berharap tiada keganasan berlaku,” katanya.


Tahun lalu, tentera Israel melepaskan tembakan terhadap penunjuk perasaan dari Lubnan dan Syria. Empat penunjuk perasaan Syria dan 10 dari Lubnan terbunuh sementara ratusan lagi cedera. - AFP

No comments:

Follow p a a p a a d a by e-mail