• RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin

Penjara, denda jika larang ibu susui anak

Mana-mana pihak di Indonesia yang didapati sengaja melarang ibu menyusukan bayi mereka dengan susu ibu berdepan hukuman penjara setahun dan denda maksimum Rp 100 juta (RM32,700), kata pakar perubatan.

Anggota Persatuan Doktor Indonesia, Dr Utami Rusli, dipetik oleh kompas.com sebagai berkata peraturan berkenaan ditetapkan dalam Undang-Undang Kesihatan.

“Kerajaan memandang serius masalah menyusukan bayi ini kerana ia memberi kesan besar kepada perkembangan dan kesihatan bayi berkenaan” katanya. Menurut Utami, kerajaan turut menguat kuasa peraturan baru yang membolehkan ibu menyusukan bayi mereka dengan susu ibu sama ada di tempat kerja atau di tempat awam.

Beliau menambah Presiden Su silo Bambang Yudhoyono menandatangani peraturan baru berkenaan pada 1 Mac lalu.

Sementara itu, seorang lagi anggota persatuan berkenaan, Ayu Pertiwi, berkata peraturan baru itu turut melarang sebarang aktiviti yang mungkin menghalang program penyusuan ibu yang dilancarkan kerajaan.

“Ia termasuklah untuk melarang syarikat farmaseutikal dari mempromosikan manfaat produk susu formula kepada orang awam,” katanya.
Undang-undang kesihatan menetapkan ibu perlu menyusukan bayi dengan susu ibu untuk enam bulan pertama selepas kelahiran.

Bekas Menteri Kesihatan, Endang Rahayu Sedyaningsih, ketika masih berkhidmat mengharamkan iklan susu formula dan meminta pembinaan bangunan pejabat menyediakan kemudahan kepada ibu di tempat kerja. – Agensi

No comments:

Follow p a a p a a d a by e-mail