• RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin

Penderaan bapa tiri...Punggung dicucuh besi panas

Seorang kanak-kanak berusia enam tahun melecur punggung kiri dipercayai akibat dicucuh besi panas oleh bapa tirinya berusia 40 tahun ketika bercuti di rumah ibunya di Kampung Gong Machang, Besut, awal bulan ini.

Kejadian menimpa kanak-kanak lelaki berkenaan yang dikatakan menjadi mangsa penderaan bapa tirinya yang bekerja sebagai penternak ikan disedari bapa kandungnya berusia 29 tahun selepas tiga hari mengambil kanak-kanak berkenaan daripada jagaan ibunya.

Difahamkan sejak ibu bapa mangsa bercerai tiga tahun lalu, kanak-kanak berkenaan dijaga nenek dan bapa kandungnya yang bekerja sebagai pemandu jentolak dan menetap di Kampung Raja, Besut dan sesekali bercuti di rumah ibunya yang berkahwin dengan suspek.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K Manoharan, berkata sebaik menjemput anaknya di rumah bekas isteri kira-kira jam 7.30 malam pada Sabtu lalu, bapa mangsa bergegas ke Serdang, Selangor atas urusan kerja dan meninggalkan kanak-kanak berkenaan bersama neneknya.

Katanya, kejadian menimpa mangsa disedari bapanya selepas pulang dari Serdang Isnin lalu, sebaik mangsa mengadu sakit di bahagian punggung, sebelum terkejut dan marah apabila melihat kesan lecur serta luka di punggung kanak-kanak berkenaan.

“Apabila bapa mangsa bertanya pada anaknya, kanak-kanak berkenaan menceritakan kejadian dia dicucuh besi panas di punggungnya ketika bercuti di rumah ibunya pada 4 hingga 9 Jun lalu.

“Bapa mangsa kemudian membawa kanak-kanak berkenaan mendapatkan rawatan di Hospital Besut, sebelum membuat laporan di Balai Polis Kampung Raja, Besut, pada 11 Jun lalu,” katanya di sini, semalam.
Manoharan berkata, sebaik menerima laporan, sepasukan anggota polis yang menjalankan gerakan memburu suspek berasal dari Kampung Permaisuri, Setiu berjaya menahannya kira-kira jam 2 pagi di rumahnya di Kampung Gong Machang, kelmarin.

Katanya, kanak-kanak berkenaan kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan sudah dibenarkan pulang selepas mendapat rawatan. Polis turut mendapati kanak-kanak berkenaan mempunyai bekas luka di jari dan siasatan dijalankan bagi mengenal pasti sama ada berpunca daripada suspek sama.

Beliau berkata, suspek kini ditahan reman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut, Kampung Raja selama empat hari bermula Selasa hingga Jumaat ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 kerana mendera.

No comments:

Follow p a a p a a d a by e-mail