• RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin

Pura-pura mati untuk selamatkan diri

Puluhan kanak-kanak menjadi sasaran keganasan terburuk yang menyasarkan golongan lemah di Syria.

Apabila sekumpulan lelaki bersenjata bertindak zalim membunuh seluruh ahli keluarganya, Ali el-Sayed hanya mampu melihat dan cuba untuk menyelamatkan diri dengan melumur darah abangnya pada bajunya.

El-Sayed, 11, terpaksa melakukan tindakan berpura-pura mati itu selepas menyaksikan sendiri pembunuhan kejam ke atas ibu bapa dan empat adik-beradiknya.

Adik bongsunya, Nader, 6, ditembak di belakang dan kepala tanpa perikemanusiaan. Ali adalah seorang daripada mangsa terselamat dalam insiden pembunuhan beramai-ramai di Houla pada 25 Mei lalu.

Lebih 100 penduduk kebanyakannya kanak-kanak ditembak dan ditikam hingga mati di rumah mereka sendiri.

Kawasan kampung di wilayah Homs tersebut menempatkan golongan miskin yang bergantung hidup dengan kegiatan pertanian dan kebun zaitun.

Kejadian pembunuhan kejam itu menyebabkan negara antarabangsa mengutuk keras kepimpinan Presiden Bashar al-Assad yang didakwa sebagai dalang utama mencetuskan keganasan selepas revolusi kebangkitan rakyat pada Mac tahun lalu.

Penyiasat Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (PBB) dan saksi di tempat kejadian mendakwa tindakan keganasan tersebut didalangi oleh kumpulan lelaki bersenjata dikenali sebagai shabiha.

Penduduk mengadakan bantahan

Ahli kumpulan shabiha itu direkrut dari puak Alawite (penyokong kuat Assad) yang bergerak secara rahsia dipercayai melakukan pembunuhan, penderaan, serangan balas bagi pihak kerajaan.

Kerajaan sebelum ini, sering menyalahkan pengganas asing bertanggungjawab menyebabkan huru-hara dan konflik yang semakin meruncing di negara tersebut.

Difahamkan, kumpulan shabiha dilabelkan sebagai lebih ganas berbanding pasukan keselamatan kerana mereka turut membedil kawasan penempatan penduduk dan melepaskan tembakan secara melulu ke arah penunjuk perasaan.

Kumpulan 'khas' ini diarah untuk melakukan penganiayaan dan menakut- nakutkan pihak penentang Assad.

Aktivis yang turut membantu mengumpulkan mayat mangsa kekejaman rejim Assad di Houla turut melahirkan rasa simpati.

"Apabila kami sampai di Houla, banyak mayat bergelimpangan dalam keadaan begitu menyayat hati.

"Saya melihat mayat kanak-kanak dengan otaknya berkecai dan paling tidak masuk akal, apabila menyaksikan tubuh kecil yang mungkin berumur kurang dua tahun ditikam tanpa belas kasihan," menurut aktivis, Ahmad al-Qasem, 35.

Rejim Assad sekali lagi menafikan mereka bertanggungjawab ke atas pembunuhan ngeri di Houla dan berterusan menyalahkan pengganas asing.

Menurut sumber kerajaan, walaupun kumpulan shabiha dituduh melakukan tindakan keganasan itu, tiada bukti cukup untuk mendakwa rejim Assad mengarahkan pembunuhan di negara yang dilihat bakal terjerumus ke kancah perang saudara tersebut.

Pembangkang Syria menyifatkan penafian Assad dan kenyataan simpati beliau selama ini terhadap mangsa kekejaman di negara itu sebagai satu pembohongan.

Walaupun ribuan penduduk telah terkorban akibat keganasan sejak lebih setahun lalu, insiden di Houla ini didakwa menjadi simbol kekejaman melampau kerajaan Assad.

Laporan dikeluarkan oleh PBB mendedahkan kebanyakan mangsa dalam kejadian tersebut ditembak pada jarak dekat termasuk ahli keluarga el-Sayed.

Penyerang dipercayai menyasarkan golongan lemah seperti kanak-kanak dan warga emas kononnya sebagai cara untuk mengugut penduduk.

Kejadian ini menunjukkan keganasan yang menjadikan penduduk kampung sebagai sasaran baru mereka.

Serangan tersebut dilancarkan selepas pasukan keselamatan kerajaan bertempur dengan Tentera Bebas Syria (FSA) yang menguasai hampir keseluruhan bandar itu.Aktivis, Maysara Hilaoui berkata, kumpulan shabiha mengambil kesempatan dengan merempuh masuk rumah penduduk kampung dan membunuh sesiapa sahaja," katanya.

"Seluruh tubuh saya menggigil apabila melihat ahli keluarga lain dibunuh di depan mata sendiri," jelas el- Sayed lagi menerusi aplikasi panggilan video dan suara, Skype.

Seminggu selepas insiden menggemparkan itu, negara tersebut dikejutkan lagi dengan kejadian pembunuhan beramai-ramai yang mengorbankan 86 penduduk termasuk lebih 20 kanak-kanak di dua kampung di wilayah Hama.

Kumpulan shabiha sekali lagi dituduh bertanggungjawab melakukan tindakan kejam itu, walaupun kerajaan sekali lagi menuding jari kepada pengganas asing.

Difahamkan, tiada saksi yang boleh menceritakan kejadian sebenar pada malam tersebut dan pihak luar hanya boleh membuat andaian mereka sendiri.

No comments:

Follow p a a p a a d a by e-mail