• RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin

Persidangan khusus untuk wanita mengenai kebangkitan Islam himpunkan peserta dari 85 negara

Persidangan Wanita dan Kebangkitan Islam Dunia yang diadakan buat julung kalinya dirasmikan di Tehran pada Rabu, dengan perwakilan memuji langkah berani tuan rumah Iran menganjurkan persidangan khusus untuk wanita dengan memberi tumpuan terhadap peranan wanita dalam era kebangkitan Islam.

Perwakilan daripada kalangan lebih 1,000 profesional, aktivis dan ahli akademik dari 85 negara yang berhimpun di ibu negara Iran ini dari Selasa untuk membincangkan dan mengkaji isu-isu berkaitan wanita, menyifatkan mesyuarat itu sebagai tidak mengikut kelaziman tetapi sesuatu yang baharu dan membuka mata.

Ali Akbar Velayati, setiausaha International Islamic Awakening Assembly, berkata momentum kebangkitan Islam dalam tahun-tahun kebelakangan ini telah mencetuskan keyakinan diri dan kesedaran di semua negara Islam.

"Mereka kini percaya dengan kembali kepada pengetahuan mengenai pengadilan Tuhan dan pengajaran menakjubkan daripada agama Islam yang kita cintai, mereka boleh berkembang dan menuju ke arah nilai-nilai ketuhanan dan menjadi perintis untuk kembali kepada nilai kerohanian dan fitrah pengadilan Tuhan dalam era di mana nilai kebendaan telah membayangi nilai-nilai etika dan kerohanian," katanya pada perasmian persidangan dua hari itu.

Kebanyakan perwakilan yang ditemu bual bersetuju dengan Velayati bahawa pada zaman ini kehadiran wanita secara efektif dalam pergerakan kebangkitan Islam membuktikan setiap wanita Islam boleh memainkan peranan penting dalam bidang politik dan sosial dan pada masa yang sama, mematuhi nilai dan kecenderungan rumah tangga dan agama.

Seorang perwakilan Tunisia, Latifa Samji, mengakui yang beliau sebelum ini mempunyai perseptif negatif mengenai wanita Iran sebelum datang ke Iran dan terkejut apabila mendapati wanita di sini aktif dalam semua bidang termasuk sukan walaupun perlu memakai hijab. Mereka telah mencipta pakaian khas untuk bersukan.

Seorang perwakilan Malaysia, Dr Adlina Ahmad, mewakili Persatuan Muslimah Ukhuwah, sebuah badan bukan kerajaan (NGO), berkongsi sentimen serupa.

"Selepas lawatan pertama saya ke Iran awal tahun ini, saya mendapati wanita Iran antara yang paling aktif, amat berfikiran terbuka dan celik huruf di kalangan wanita di negara-negara Islam, tetapi menutup diri mereka dengan hijab malahan semasa bersukan dan memakai 'chadur' (pakaian luaran yang menyerupai kot panjang) untuk pergi kerja," katanya.

Persidangan itu dirasmikan Presiden Iran Mahmoud Ahmadinejad, yang berkata kebangkitan Islam merupakan syarat utama untuk melakukan perubahan besar dalam keadaan dunia sekarang.

Kira-kira 450 artikel yang berkaitan dibentangkan oleh perwakilan pada persidangan itu, yang merupakan siri ketiga persidangan antarabangsa mengenai kebangkitan Islam di Tehran. Yang pertamanya dianjurkan pada September tahun lepas yang dihadiri lebih 700 tokoh Islam.

Pada persidangan itu juga peserta memutuskan untuk menubuhkan World Assembly of Islamic Awakening. Susulan itu, menyedari akan pentingnya peranan belia, satu persidangan Kebangkitan Islam yang dihadiri 1,200 golongan muda Islam diadakan pada awal tahun ini. - Bernama

No comments:

Follow p a a p a a d a by e-mail