• RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin

Rahsia air tangan 'Mem Besar'

FAUZIAH Loo Abdulllah ringkas sahaja orangnya. Mengenakan baju kurung potongan Pahang dengan rambut yang dilepaskan beralun separas bahu, wanita berusia 40-an ini banyak tersenyum ketika diajak berbicara.
Pengurus Restoran Serama Herbal BBQ yang terletak di Durian Tunggal, Ayer Keroh, Melaka ini bukan sahaja dikenali ramai sebagai 'Mem Besar' di Taman Serama tersebut, sebaliknya para pelanggan yang pernah berkunjung ke sini, mereka pasti tercari-cari jika kelibatnya tidak kelihatan di restoran.
Apa tidaknya, selain keupayaannya menghidangkan pelbagai jenis masakan Thai yang enak dan asli serta hidangan eksotik yang dijamin halal, figura yang memiliki perwatakan lembut ini sangat mengutamakan keselesaan dan kepuasan pelanggannya.
Atas dasar itu, setiap pelanggan akan disambut dengan senyuman dan sapaan mesra.
Selesai sahaja mengalu-alukan kedatangan pelanggan, Fauziah akan terus membuka mulut, bercerita tentang keistimewaan hidangan yang disediakan di Restoran Serama Herbal BBQ. Pesanan kemudiannya diambil.
Tidak lama selepas makanan dihantar kepada pelanggan, sekali lagi ibu kepada tiga anak ini akan bertanya kepada pelanggan tentang kualiti hidangan yang disediakan.
"Dalam perniagaan restoran, perkhidmatan kepada pelanggan perlu menjadi keutamaan.
"Cita rasa setiap orang mungkin berbeza dan definisi enak atau lazat bagi sesetengah pelanggan juga subjektif.

RATUSAN spesies ayam dari seluruh dunia ditempatkan di Taman Serama.


"Apa pun, kami cuba berikan yang terbaik kepada pelanggan kerana kepuasan pelanggan adalah kualiti kami," ujarnya.
Menjadi insan yang bertanggungjawab mengolah resipi kesemua masakan eksotik yang ditawarkan di restorannya, Fauziah akui, beliau tidak mudah berpuas hati dengan cita rasanya, apatah lagi pada awal pembukaan restoran tersebut awal tahun ini.
"Saya tidak mahu pelanggan menikmati makanan dengan cita rasa saya. Mungkin ia sedap di tekak saya, tetapi tidak pada orang lain.
"Disebabkan itu, saya yang pertama kali berkecimpung dalam industri makanan ini perlu bersikap terbuka dengan kritikan daripada pelanggan.
"Dari situ kami cuba memperbaiki cita rasa masakan dan perkhidmatan demi kepuasan pelanggan," tutur Fauziah yang mempunyai darah kacukan Cina dan Baba Nyonya.
Selain popular dengan keenakan tomyam campur yang mewah dengan kombinasi udang, sotong dan cendawan, restoran yang diusahakan bersama suami, Ahmad Fauzi Mohamed, 58, ini turut menawarkan menu masakan eksotik yang semakin diminati ramai.
Masakan eksotik
"Selain masakan ala Thai, kami juga memperkenalkan menu eksotik yang dijamin halal dan sihat.
"Antaranya, sup herba burung merpati bersama mas cotek, burung unta masak lada hitam, ayam mutiara goreng pandan dan pelbagai menu asap salai yang menggunakan ayam serama, burung puyuh, ikan haruan dan sebagainya.
"Alhamdulillah, setakat ini sambutan yang kami terima sangat menggalakkan terutamanya menu tomyam campur dan sup herba burung merpati bersama mas cotek," jelas Fauziah.
Lebih menarik, sumber bahan mentah terdiri daripada unggas dan ikan, semuanya diternak di Taman Serama, sebuah taman ekopelancongan yang diilhamkan oleh suaminya.
"Di taman ini, kami ternak pelbagai jenis unggas dan ikan air tawar.
"Terdapat lebih 400 spesies burung merpati dan ratusan jenis ayam eksotik dari seluruh dunia diternak di sini.
"Tidak ketinggalan, kami memiliki lebih kurang 2,000 ekor ayam serama yang dibiak ternak di taman ini.

SELAIN menempatkan sebuah restoran, Taman Serama bakal mempunyai ruang pameran ayam eksotik dan calet.


"Dek kerana itu, stok bekalan bahan mentah tidak pernah menjadi masalah kepada kami walaupun restoran ini boleh menerima sehingga 500 pelanggan dalam satu masa," kata Fauziah yang diberi tanggungjawab menguruskan hal ehwal restoran, daripada membeli barang keperluan di dapur sehinggalah melayan pelanggan.
"Sebenarnya restoran ini dibangunkan atas idea suami. Jadi dialah yang banyak mengajar saya menguruskan bahagian operasi, pentadbiran, pengurusan pekerja sehinggalah promosi dan pengiklanan.
"Bukan kami tidak pernah bertelingkah tetapi kami saling mempercayai antara satu sama lain.
"Kami turut memiliki cita rasa makanan yang sama dan masing-masing gemar mencuba makanan baharu," dedah Farah.
Menjadi isteri kepada peminat tegar ayam serama sejak beberapa tahun kebelakangan ini turut mengubah kehidupan Fauziah.
Jika selama ini beliau hanya menguruskan anak-anak sementara suaminya yang bertugas sebagai ketua jurutera kapal dagang belayar ke seluruh dunia, kini rutin beliau bertambah sibuk sejak dua tahun kebelakangan ini.
"Dua tahun lalu, suami saya luahkan hasratnya untuk membina sebuah taman ekopelancongan berkonsepkan ayam serama di Melaka.
Idea suami
"Sejak itu kami mula bergabung idea dan tenaga bersama beberapa orang rakan. Hari ini, Taman Serama yang menjadi impian suami saya sejak dahulu lagi semakin menjadi kenyataan," dedah Fauziah.
Selain menempatkan Restoran Serama Herbal BBQ, taman tersebut bakal memiliki restoran terapung, ruang pameran ayam serama, ayam eksotik dan burung merpati, kedai cenderahati, hotel serta calet yang sedang dibina secara berperingkat.
"Ayam serama adalah kegilaan suami saya. Secara tidak langsung, saya turut menyukainya walaupun pada awalnya, saya merasakan hobi ayam serama banyak menghabiskan duit.
"Namun, siapa sangka, dengan duit yang dilaburkan itu jugalah, Taman Serama ini dapat direalisasikan," kata Fauziah yang mengakui sudah mahir melihat potensi ayam serama yang sesuai untuk bertanding biarpun ketika haiwan tersebut masih kecil lagi.

AYAM serama yang siap disalai akan dipanggang bersama sos pilihan pengunjung.


Jelasnya, keunikan ayam serama yang bakanya berasal daripada istana sultan Kelantan perlu dipertahankan.
"Kalau anda pergi ke Amerika Syarikat, Kanada, Korea, Itali hinggalah ke Asia Barat, ayam serama Malaysia sudah banyak dibela di sana, apatah lagi di Indonesia.
"Ini bermakna, ayam terkecil di dunia ini mempunyai peminat yang begitu ramai. Pembinaan Taman Serama ini adalah cara kami untuk mengangkat martabat ayam serama sebagai ikon warisan negara ini," katanya.

No comments:

Follow p a a p a a d a by e-mail