• RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin

20 skru dalam kepala

AZNI ROKHAIL tetap tabah menjalani kehidupan di rumahnya di Kampung Sungai Nanong, Kuala Kedah.

Biarpun kepala 'ditanam' dengan 20 biji skru akibat kemalangan dua tahun lalu, seorang gadis, Azni Rokhail Shamsuddin tetap tabah meneruskan kehidupan dan masih menaruh harapan untuk bekerja bagi mencari pendapatan sendiri.

Kemalangan motosikal dua tahun lalu menyebabkan anak yang menjadi harapan keluarga mencari sumber pendapatan kini tidak mampu lagi meneruskannya berikutan kecederaan teruk yang dialami.

Azni Rokhail Shamsuddin, 27, yang terpaksa menjalani lima kali pembedahan akibat kejadian itu kini hanya mampu duduk di rumah dan bergantung harap dengan bapanya, Shamsuddin Morad, 62, yang bekerja sebagai nelayan dengan pendapatan tidak menentu sekitar RM400 sebulan.

Menceritakan detik kemalangan menimpanya, Azni Rokhail berkata, sewaktu kejadian dia dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Sungai Nonang dengan motosikal setelah mengambil bapanya pulang dari tempat kerja di Kuala Kedah.

Menurutnya, setibanya di Jalan Batas Paip, tayar belakang motosikal itu tercabut akibat pancit menyebabkan dia terjatuh ke tengah jalan, manakala Shamsuddin jatuh di bahu jalan.

“Akibat kemalangan itu saya mengalami pendarahan dalam kepala dan koma selama seminggu serta terpaksa memasang 20 skru di bahagian kepala kanan bagi menggantikan tempurung kepala yang baru.

“Sekarang saya terpaksa meminta bantuan jiran untuk membawa saya ke Hospital Yan bagi menjalani rawatan fisioterapi yang dijalankan dua minggu sekali,” katanya kepada pemberita di rumahnya pada program Secebis Kasih Seindah Ramadan.

Program yang dijalankan 17 pelajar praktikal di Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Alor Setar itu turut dihadiri Pengarah Perkeso, Othman Mohd Nordin yang menyampaikan bantuan wang zakat dan sumbangan berbentuk barangan dapur kepada tiga orang berinsurans (OB) termasuk di Pendang dan Kodiang.

Azni Rokhail yang tidak mampu bekerja kilang di Bakar Arang, Sungai Petani seperti dahulu, amat berharap sekiranya dia dapat mempelajari kemahiran menjahit agar dapat membantu menampung keperluan keluarga.

Selain itu, dia berkata, keadaan rumah yang usang turut menimbulkan kebimbangan kepadanya dan keluarga terutama pada musim hujan dan ribut.

Menurutnya, rumah yang sudah berusia hampir 30 tahun itu mengalami kebocoran di bahagian bumbung dan reput akibat dimakan anai-anai.

“Bapa saya pernah memohon bantuan dengan Keda (Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah) dan Persatuan Nelayan, namun belum menerima sebarang maklum balas.

“Saya yang kini tidak mampu mencari pendapatan untuk keluarga hanya berharap simpati orang ramai untuk membantu menyara kehidupan keluarga,” katanya.

Sementara itu, Othman berkata, Azni Rokhail menerima pencen ilat iaitu RM366.75 sebulan dan Perkeso telah memberi bantuan untuk kos menukar tempurung kepalanya.

Beliau berkata, pihaknya juga akan mengesyorkan latihan vokasional sesuai untuk Azni Rokhail bagi membolehkan dia bekerja semula bagi membantu keluarga.

“Kita akan sentiasa membantu dia (Azni Rokhail) seperti OB lain dan mungkin mencari pekerjaan yang sesuai setelah tamat latihan nanti.

“Sumbangan diserahkan kepada keluarga ini diharap dapat meringankan beban mereka sekeluarga menjelang Aidilfitri nanti,” katanya.

No comments:

Follow p a a p a a d a by e-mail