• RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin

Bandaraya Murmansk....Berbuka puasa ketika siang

Kota Murmansk disinari cahaya matahari 24 jam sepanjang Ramadan

Buat pertama kalinya dalam masa beberapa puluh tahun, Ramadan tahun ini berlangsung ketika musim panas yang dianggap paling sukar hingga ada tempat penduduk Islam hanya berbuka selepas 20 jam.
Selain musim panas kali ini disifatkan sebagai paling panas, ia juga menyebabkan tempoh berpuasa lebih panjang setiap hari.

Di bandaraya pelabuhan barat laut Russia, Murmansk, penduduk Islam di sana berpuasa dan berbuka pada waktu siang sepanjang Ramadan.

Murmansk ketika ini disinari cahaya matahari selama 24 jam, bermakna tidak ada waktu yang jelas bagi penduduk Islam di negara itu untuk mula berpuasa dan berbuka.

Imam Besar Dubai, Dr Ali Mashael berkata, penduduk di wilayah berkenaan perlu berpuasa mengikut waktu yang sama dengan negara paling hampir kepada mereka yang mempunyai waktu siang dan malam yang jelas.

Ikut negara paling hampir

Beliau menjelaskan bahawa dalam situasi seperti ini penduduk kawasan terbabit perlu mengikut waktu Imsak, Subuh dan Maghrib di negara yang paling hampir kepada mereka sebagai sumber rujukan.

Di bahagian lain di dunia turut menyaksikan umat Islam berpuasa 20 jam sehari terutama mereka yang tinggal di Reykjavik, Iceland. Sama dengan ibu negara Denmark, Copenhagen di mana penduduk Islam yang menjadi masyarakat minoriti berpuasa selama lebih 19 jam.

Di bandaraya berjiran Scandinavia, Helsinki, Finland tempoh berpuasa di sana juga hampir 19 jam manakala Holland dan London masing-masing adalah 18 dan 17 jam.

Dr Mashael berkata, walaupun puasa selama 17 hingga 20 jam disifatkan sebagai terlalu lama tetapi umat Islam tiada pilihan selain mengikut waktu matahari terbit dan terbenam di tempat masing-masing untuk berbuka atau bersahur.

Pendapat cara berbuka

Katanya perkara itu dijelaskan dalam Firman Allah dalam Surah Al Baqarah ayat 187 yang bermaksud: “Dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam (kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga maghrib.”

Bagi negara atau bandaraya di mana waktu siang atau malam mereka adalah 24 jam, Dr Mashael berkata, ada dua pendapat mengenainya. Pertama seperti yang diterangkan dalam ayat suci itu manakala kedua mengikut waktu berpuasa Tanah Suci Makkah dan Madinah.

Ia berbeza dengan penduduk di Buenos Aires, Sydney dan Cape Town yang paling pendek tempoh berpuasa iaitu 12 jam manakala di Comodoro Rivadavi, Argentina, tempoh berpuasa adalah 11 jam. - Agensi

No comments:

Follow p a a p a a d a by e-mail