• RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin

Filem Melayu...Fantasi Asing

PADA tahun ini, dalam tempoh tujuh bulan pertama, sebanyak 37 buah filem sudah ditayangkan daripada pelbagai genre seperti Sumpahan Kum Kum, Bujang Terlajak, Azura 2012, Hantu Dalam Botol Kicap, Adnan Sempit 2, Cinta Kura-Kura, Bunohan, Tujuh Petala Cinta, Jidin Sengal, Tiga Temujanji, Berani Punya Budak, Mantara, Hoore Hoore dan banyak lagi.

Sepanjang tahun lepas pula, 42 naskhah filem telah ditayangkan namun hanya dua buah filem yang mendapat kutipan melebihi RM10 juta iaitu filem Ombak Rindu keluaran Astro Shaw Sdn. Bhd. dan KL Gangster terbitan Skop Production.

Pertambahan mendadak bilangan filem yang dihasilkan tersebut, khususnya pada tahun ini menunjukkan industri filem menunjukkan perkembangan positif dengan beberapa filem telah meningkatkan teknologi terkini pembikinan dengan menggunakan teknologi terkini yang hampir menyamai filem luar negara seperti filem Merong Mahawangsa terbitan KRU Studios.

Dianggarkan sebanyak 60 buah filem bakal diterbitkan tahun ini dan ia adalah satu yang luar biasa pernah berlaku dalam industri ini. Namun, jumlah penerbitan filem sepanjang tahun lepas dan tahun ini menimbulkan persoalan tentang sama ada pertambahan dari segi kuantiti adalah sesuatu yang positif.

Ini kerana apa yang menimbulkan kebimbangan adalah dari segi kualiti filem-filem tempatan masa kini memandangkan muncul fenomena lambakan produksi yang sering menampilkan elemen-elemen hantu, gengster, mat rempit dan bohsia.

Mat rempit umpamanya seolah-oalah diangkat sebagai wira dan menjadi glamor apabila golongan yang banyak mendatangkan masalah dalam masyarakat Malaysia itu kerap kali mengisi layar perak tempatan.

“Saya dapati berlaku lambakan filem berkenaan mat rempit, hantu, gengster dan sebagainya apabila ia banyak diketengahkan di layar perak tempatan. Mat rempit misalnya, seolah-olah diangkat sebagai wira dalam sesebuah filem. Itu adalah satu isu yang tidak elok,” ujar Rektor Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Prof. Dr. Hatta Azad Khan.

Hatta mengutarakan pandangan kontroversinya itu apabila muncul sebagai salah seorang ahli panel pada satu sesi dialog berjudul, Filem Malaysia: Kualiti Atau Kuantiti yang berlangsung di Sri Pentas TV3, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini. Turut dijemput sebagai ahli panel sesi dialog tersebut ialah pengarah filem, Saw Tiong Hin dan Penolong Pengarang akhbar Mingguan Malaysia merangkap pengkritik filem, Ku Seman Ku Hussein.
Tambah Hatta, filem di negara ini sepatutnya lebih bertanggungjawab dalam menyediakan filem yang boleh meningkatkan pemikiran penonton dan penerbit filem tidak hanya menerbitkan produk untuk mengaut keuntungan semata-mata.

Beliau menegaskan, golongan yang mengangkat filem sebagai satu seni terlalu sedikit dalam industri filem tempatan dan perkara itu tidak dapat meningkatkan kelompok pemikiran penonton.

Hatta bimbang kerana senario yang berlaku di negara ini adalah semua orang mahu menjadi penerbit, pengarah dan bintang filem tanpa mempunyai pengetahuan khusus tentang bidang itu.

“Saya pernah bertukar-tukar fikiran dengan orang ramai, ada cakap dia mahu menjadi penerbit filem, anak-anak muda pula hendak jadi pengarah filem manakala remaja di kampung pula hendak jadi bintang filem.
“Bidang filem di negara ini berlainan dengan seni lain seperti penari yang perlu ada pengkhususan khas. Saya kasihan dengan pelajar-pelajar saya kelak ke mana mereka akan pergi selepas (menamatkan pengajian) ini,” luahnya dalam nada penuh kesal.

Menurut Hatta lagi, dalam industri filem tempatan, kebanyakan pekerjanya dibayar dengan kos yang rendah yang mana sesiapa yang boleh bekerja dengan gaji yang murah boleh mendapat tempat dalam industri ini. Hatta juga memberitahu, banyak filem diterbitkan dengan tiada hala tujuan walaupun cantik dari segi suntingan dan sebagainya.

“Apa yang kita boleh harapkan dengan filem yang bercerita tentang hantu dalam botol misalnya, itu manusia apa, apa perkembangannya. Sama juga dengan filem tentang gengster, walaupun filem itu cantik dari segi suntingan ia tidak menggambarkan persekitaran sebenar dan realiti di Kuala Lumpur.

“Saya tanya diri saya, siapa budak yang bergasak itu. Saya pernah belajar (ilmu pengetahuan filem), kalau mahu buat cerita mesti ada sebab dan akibatnya. Malangnya, ia tidak ada pada cerita itu, di Kuala Lumpur tidak pernah saya tengok ada samseng keluar dari lorong dan bergasak, buka baju bergaduh kecuali orang gila sahaja,” ujarnya.

Beliau menjelaskan lagi, sesebuah filem itu boleh digarap mengenai apa sahaja tetapi cerita tentang manusia adalah terhad dan apa yang penting adalah cara bagaimana untuk mengolah cerita itu.

“Contohnya, kalau filem itu menampilkan kisah cinta. Semua kisah cinta adalah sama tetapi bagaimana kisah itu diceritakan atau diolah, bagaimana ia boleh menjadi menarik, contohnya filem Itali berjudul Life Is Beautiful. Ia boleh membuat kita ketawa sampai menangis dan tidak banyak filem boleh berbuat begitu,” ujarnya.

Wacana bukan cerita



Sumber: Perbadanan Filem Negara (Finas)

Ku Seman Ku Hussein pula berhujah bahawa penerbitan filem sebenarnya bukan untuk hiburan semata-mata. Menurutnya, sesuatu produk filem itu seharusnya ada tanggungjawab sosial untuk masyarakat umum dan bukan sekadar untuk kepentingan industri berkenaan.

“Sebuah filem yang baik perlu ada empat ciri iaitu intelektual, spiritual, emosi dan menghiburkan. Setakat ini kesemua elemen tersebut hanya ada pada filem karya dan lakonan Tan Sri P. Ramlee iaitu Ibu Mertuaku dan Semerah Padi,” ujarnya.

Beliau menjelaskan lagi, filem masa kini yang boleh dikategorikan sebagai berkualiti adalah seperti filem Paloh dan Embun tetapi kedua-dua filem berkenaan tidak menghiburkan dan tidak digemari oleh audiens.

Ujarnya, filem yang berkualiti adalah filem yang menampilkan isu berat. Namun filem komedi boleh juga menjadi berkualiti tetapi ia sukar dijelmakan dalam filem di Malaysia.

“Filem mesti membawa wacana bukan cerita. Cerita dalam filem kita hanya dijadikan alat untuk membawa cerita dalam sesebuah filem,” jelasnya.

Tambah beliau, kisah gengster dalam filem tempatan negara kita ini ditampilkan secara keterlaluan tetapi ia mendapat sambutan yang luar biasa sehingga tahap pecah panggung.

“Filem tempatan yang menampilkan isu gengster hanya mengadaptasi fantasi Hollywood dan Hong Kong dan bukannya kisah realiti di Kuala Lumpur. Persekitaran Hong Kong diletakkan dalam persekitaran negara ini, itu sebabnya ia diminati dan dialog watak-watak dalam filem itu juga digemari oleh masyarakat sekarang,” ujarnya.

Sementara itu bagi, Tiong Hin yang dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pengarah Terbaik Festival Filem Malaysia ke-18 menerusi filem Puteri Gunung Ledang berkata, ramai pengkarya filem mengabaikan pengisian dalam sesuatu filem

Menurutnya jika tiada pengisian tersebut, filem di negara ini adalah kosong dan seolah-olah menjadi trend filem Malaysia hanya mempunyai tema dan barisan pelakon yang sama sehingga penonton sukar membezakan filem itu adalah naskhah yang berbeza.

Selaku pengarah filem, Tiong Hin menyatakan adalah sukar untuk mengkategorikan sesuatu filem itu adalah hasil kreativiti seni atau sebaliknya bukan produk seni.

“Apabila ramai pelakon berlakon dalam filem yang hampir sama, sukar untuk audiens membezakan diri mereka. Pelakon seolah-olah tiada kepelbagaian,” ujarnya.

Beliau menegaskan lagi, filem di negara ini telah terlalu dikomersialkan. “Setiap pengkarya filem hanya mahu mengejar keuntungan terlebih dulu sebelum berfikir untuk menghasilkan karya lain yang lebih bermakna,” katanya.

No comments:

Follow p a a p a a d a by e-mail