• RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin

Israel akan lenyap

Israel ialah tumor yang akan musnah tidak lama lagi, kata Presiden Iran Mahmoud Ahmadinejad kepada penunjuk perasaan yang membantah kewujudan negara Yahudi itu, semalam.


“Rejim Zionis adalah tumor. Walaupun, jika satu sel mereka tertinggal di satu inci persegi tanah Palestin, kisah kewujudan Israel akan berulang lagi pada masa depan,” katanya ketika berucap di Teheran sempena sambutan Hari Quds yang disiarkan secara langsung oleh televisyen negara itu.

“Negara di rantau ini akan memusnahkan Zionis di bumi Palestin. Sebuah Asia Barat yang baru akan pasti terbentuk. Dengan izin Allah dan bantuan daripada negara sekeliling, tidak akan ada kesan Amerika dan Zionis di Asia Barat yang baru itu,” katanya.

Mahmoud berkata demikian ketika ketegangan antara Israel dan Iran memuncak berhubung program nuklear Republik Islam itu.

Israel sejak beberapa minggu lalu meningkatkan ancaman untuk mengebom kemudahan nuklear Iran bagi menyekatnya daripada menghasilkan bom atom.

Iran yang terjejas teruk akibat sekatan Barat menyangkal program nuklearnya mempunyai matlamat ketenteraan.

Tentera negara itu memberi amaran akan memusnahkan Israel sekiranya ia menyerang Iran. Sementara itu, rakaman televisyen menunjukkan orang ramai berarak di Teheran dan beberapa bandar lain negara itu bagi menyambut Hari Quds.

Mereka membawa bendera Palestin dan gambar pemimpin agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei dan sepanduk yang berbunyi ‘Binasa Israel’ dan ‘Binasa Amerika Syarikat.’ Perarakan itu menjadi acara tahunan setiap bulan Ramadan di Iran sejak Revolusi Islam pada 1979.

Dalam ucapannya, Mahmoud juga berkata, pihak Zionis yang bertanggungjawab mencetuskan Perang Dunia Pertama dan Kedua.

Mereka juga menguasai hal ehwal dunia sejak mereka mula mendominasi kerajaan Amerika Syarikat. - AFP

No comments:

Follow p a a p a a d a by e-mail