• RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin

Kurikulum ‘Cuci Otak’

WALAUPUN Hong Kong terkenal dengan ketaksuban mereka terhadap pendidikan, kini ibu bapa di pulau itu sepakat untuk membantah rancangan kerajaan yang diterajui Parti Komunis China untuk memperkenalkan kurikulum pendidikan baru.
Mereka mendakwa kurikulum yang diperkenalkan itu lebih bertujuan ‘mencuci otak’ dan menceroboh kebebasan yang dinikmati sekarang.

Seramai 90,000 orang diketuai ibu bapa yang membawa anak-anak kecil dalam kerusi tolak bayi dan kain rentang yang dihasilkan oleh kanak-kanak, memenuhi jalan di tengah kota Hong Kong bagi mengecam dan membantah ‘pendidikan kebangsaan’.
Sebenarnya, isu ini sudah lama ada dalam agenda kerajaan China sejak ia diserahkan oleh British kepada China pada 1997, tetapi buku kecil pendidikan baru yang berlandaskan ‘model China’ mencetuskan kebimbangan di kalangan guru dan ibu bapa.

“Sistem baru ini akan meracun fikiran anak-anak. Ia umpama memberi keutamaan kepada politik melebihi pendidikan,” kata pegawai kerani, Gordon Chan, 34, ketika dia berarak bersama isteri dan anak perempuannya yang baru berumur sembilan bulan.


Pelajar universiti, Mercury Leung, 21, berkata, “Pelajar terutama yang berada di sekolah rendah seperti sehelai kertas putih. Mereka akan terima saja apa yang diajar di sekolah. Namun kini, subjek yang hendak diperkenalkan akan melorekkan warna merah pada kertas itu.”


Perarakan yang diadakan pada Ahad beberapa minggu lalu adalah demonstrasi ketiga terbesar di Hong Kong dalam tempoh dua bulan. Ia secara tidak langsung menggambarkan kebimbangan penduduk terhadap kemaraan pengaruh ekonomi dan politik Beijing di pulau yang menjadi pusat kewangan itu.

Pada awal Jun lalu, beribu-ribu orang berkumpul sempena memperingati ulang tahun rusuhan di Dataran Tiananmen pada 1989, manakala pada 1 Julai lalu beratus ribu orang berarak pada ulang tahun ke-15 penyerahan Hong Kong ke China.

Seperti penduduk lain yang menyertai protes, Chan dan Leung berkata, mereka tidak membantah pendidikan nilai murni di sekolah di Hong Kong, tetapi semua tidak bersetuju jika propaganda Parti Komunis diselitkan dalam pelajaran.

Ibu bapa dan pelajar yang bimbang mengenai perkara ini menegaskan kurikulum yang dicadangkan itu sebenarnya gagal mengangkat martabat China. Ia terbukti berdasarkan rusuhan mahasiswa universiti di Dataran Tiananmen dan tercetusnya Revolusi Budaya.

Buku kecil setebal 34 muka surat yang dibiayai kosnya oleh kerajaan itu bertajuk ‘China Model’. Ia memuji Parti Komunis China yang dianggap ‘progresif, tidak mementingkan diri dan bersatu’.

Corak pemerintahan China yang diterajui oleh satu parti dirujuk sebagai sistem ‘mendahulukan rakyat’ dan ‘bersatu’, malah ia dibandingkan dengan demokrasi berbilang parti yang diamalkan di Amerika Syarikat yang dianggap tidak cekap dan berpecah belah.

Pada buku kecil berkenaan turut ditulis tajuk: “Apabila parti melalui kesukaran untuk bertahan, maka rakyat akan ditimpa kecelakaan.”

Buku kecil itu adalah antara sebahagian daripada kurikulum pendidikan kebangsaan yang diluluskan tahun lalu dan akan diwajibkan ke atas semua pelajar sekolah rendah dan menengah bermula 2016.

Pelajar akan diwajibkan menghadiri kelas pendidikan kebangsaan selama satu jam seminggu, tetapi tidak dikehendaki menduduki peperiksaan bagi subjek berkenaan.

“Pendidikan kebangsaan mengajar kanak-kanak untuk menipu,” kata Wong Kin, bapa kepada tiga anak dengan perasaan marah. Dia ditemui pada persidangan awam di mana guru dan ibu bapa meluahkan rasa tidak puas hati mereka terhadap rancangan kerajaan itu.

“Sekarang sudah ada kursus mengenai sejarah China, budaya China dan bahasa China. Tidak perlu lagi menambah subjek pendidikan kebangsaan,” sambungnya lagi dengan nada tegas.

Dalam maklum balas terhadap protes itu, Ketua Eksekutif Leung Chun-ying berjanji akan mengadakan satu lagi perjumpaan dengan ibu bapa bagi meyakinkan mereka bahawa kanak-kanak tidak akan menjadi sasaran kepada penanaman fahaman Parti Komunis.

“Kerajaan tiada niat langsung untuk meracun pemikiran kanak-kanak. Sekolah, guru dan badan pendidikan akan mempunyai ruang yang luas, menggunakan pendekatan profesional dan kaedah terbuka untuk mengajar subjek ini (pendidikan kebangsaan),” katanya.

Bagaimanapun, kenyataannya itu bertentangan dengan kata-kata Jiang Yudui, penyokong kuat Persatuan Penggalakan Pendidikan Sivik Beijing China di Hong Kong yang mencetuskan rasa curiga pengkritik apabila dia menegaskan bahawa ‘pencucian fikiran’ itu sudah dimuktamadkan.

“Otak kita perlu ‘dicuci’ jika ada masalah, sama seperti baju yang perlu dibersihkan jika kotor. Malah buah pinggang pun perlu dicuci jika ia sakit,” katanya seperti dilaporkan media tempatan.

Profesor Madya Leung Yan Wing daripada Institut Pendidikan Hong Kong berkata, pelajar sepatutnya digalakkan untuk berfikiran secara kritikal.

“Apa yang penduduk Hong Kong bimbang ialah ia bukannya bertujuan memberi pendidikan sebaliknya mereka (kerajaan) mahu menanamkan fahaman komunis pada kanak-kanak,” katanya.

Pun begitu, dia berkata sikap terbuka penduduk Hong Kong adalah benteng pertahanan terbaik bagi menahan kemasukan propaganda dari tanah besar.

“Peluang untuk kemasukan satu-satu fahaman (doktrin) akan diseimbangkan dengan sikap terbuka satu-satu masyarakat,” katanya. - AFP

No comments:

Follow p a a p a a d a by e-mail