• RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin

Waspada!!!...Buaya Darat

Kiah menceritakan penderitaan yang dialaminya dan tidak mahu wanita lain menjadi mangsa kerakusan bekas suaminya itu.

“Berwaspada, jangan sampai tertipu dengan taktik lelaki hidung belang itu,” demikian peringatan yang diberi Kiah, 47, mengenai tindakan bekas suaminya yang gemar mempermainkan wanita.

Kiah berkata, bekas suaminya itu bukan sahaja ligat permainkan wanita tetapi turut mengikis harta mangsa-mangsanya untuk meneruskan hobi yang suka menukar kereta setiap tahun.

Menurutnya, tanpa mengira status sama ada janda, isteri orang dan wanita muda sebagai mangsa, lelaki berusia, 48, itu juga dikatakan seakan mempunyai aura apabila dengan mudah mampu memperdayakan semua mangsanya.

“Cukuplah dengan derita yang saya tanggung selama ini, saya tidak mahu wanita lain terutama di daerah ini menjadi mangsa kerakusannya lagi,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini, semalam.

Kiah membongkar perbuatan bekas suaminya yang dikenali sebagai Karim dan mangsa terbarunya wanita berusia 40an yang baru dikahwininya bulan lalu.

Katanya, dia percaya Karim yang mempunyai sumber pendapatan tetap, mempunyai ilmu untuk menundukkan wanita yang dituntutnya dari sebuah perkampungan Orang Asli di Gopeng.

“Karim mempunyai tangkal di bahagian pinggangnya. Mungkin sebab itulah orang lain kalau memandangnya pasti akan berasa simpati selain menurut kata-katanya terutama ketika dia meminta wang.

“Saya berasa kasihan dengan wanita yang baru dikahwininya itu kerana saya tahu mereka pasti akan menderita sama yang dialami oleh isteri pertamanya umpama patung bernyawa di rumah,” katanya.

Kiah turut terkejut apabila dirinya telah diceraikan dengan talak tiga tanpa pengetahuannya dan perkara itu diketahuinya selepas 10 bulan dilafazkan di hadapan isteri pertamanya.

“Masa itu memang saya tidak tahu dan kami masih bersama sebagai suami isteri sehinggalah saya bertemu dengan isteri pertama yang kemudiannya menunjukkan dokumen penceraian,” katanya yang turut membawa kes itu ke Mahkamah Syariah.

Menceritakan detik pertemuan pertama, dia yang tidak pernah berkahwin terus menjadi ‘gila bayang’ dengan lelaki itu selepas bertemu di sebuah kedai di sini.

“Saya terus demam selepas berjumpa dengannya dan tidak mempedulikan nasihat orang sekeliling termasuk ahli keluarga. Lelaki yang diharap menjadi pelindung merupakan bebanan dalam hidup saya.

“Kami berkahwin melalui sindiket dengan perbelanjaan ditanggung sendiri oleh saya. Dia tidak keluar sesen pun,” katanya.

Kiah berkata, selain manis mulut, lelaki berkenaan turut ‘ringan tangan’ sekiranya perbuatannya itu ditegur.

“Saya nasihatkan wanita-wanita di luar sana supaya tidak mudah terpedaya dengan dia yang bermulut manis.

“Saya juga tidak teragak-agak untuk membuat laporan polis sekiranya dia masih ganggu hidup saya,” katanya.

No comments:

Follow p a a p a a d a by e-mail