• RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin

Manusia kebal bukan karut

TRICHAN mengambil ayam goreng daripada minyak bersuhu 480 darjah Celcius dengan tangan.

MANUSIA secara semula jadi akan cedera bahkan boleh terbunuh jika badannya ditusuk benda tajam seperti pisau atau ditembak dengan senjata api. Jarang sekali ada orang yang bertubuh kebal.

Bagaimanapun, cerita manusia kebal popular di seluruh dunia. Pada tahun 2008, daerah Gorontalo di Indonesia gempar dengan kelibat seorang lelaki yang digelar Tarzan kerana tidak lut peluru.

Kejadian itu bermula selepas Tarzan membunuh seorang anggota polis yang datang ke rumahnya bersama seorang orang kampung untuk menagih hutang wang yang dipinjamnya.

Sebagai tindak balas, sepasukan anggota polis menyerbu rumah Tarzan dan melepaskan 107 tembakan yang mengenai tubuh lelaki pelik itu. Anehnya, peluru itu langsung tidak mencederakan Tarzan.

Pihak polis yang terkejut dengan kejadian itu buntu. Kemudian, seorang jiran Tarzan memberitahu bahawa kekebalan lelaki itu terletak pada sebentuk cincin yang dipakai di jari kanannya.

Berdasarkan maklumat itu, pihak polis menyasarkan tembakan ke arah cincin itu hingga ia terlucut dan akhirnya membolehkan peluru menembusi tubuh lelaki itu.

Kadangkala manusia bukan sahaja tidak lut senjata tajam malah kebal daripada arus elektrik dan minyak panas.

Di Indonesia juga, seorang lelaki yang digelar Manusia Elektrik, Suparlan, 59, ‘kebal’ daripada arus elektrik sejak kecil lagi.

Dia yang mempunyai sembilan anak dan 12 cucu berkata, rasa terkena kejutan elektrik sama seperti digigit semut.

“Sekiranya sakit badan atau lenguh, memegang kabel yang mengandungi arus elektrik boleh membuatkan tubuh saya menjadi segar,” katanya yang bekerja sebagai juruelektrik di sebuah syarikat tenaga di negara itu.

Di Chiang Mai, Thailand, Kann Trichan, 50, selamba mencelupkan tangannya ke dalam minyak panas.

Trichan ialah pemilik sebuah kedai makan yang menyediakan menu ayam goreng. Setiap kali menggoreng ayam, lelaki itu mencelupkan tangannya ke dalam kuali untuk mengambil ketulan ayam yang telah masak.

Peliknya, tangan Trichan tidak pernah melecur. Kebolehan luar biasa itu menyebabkan ramai orang berkunjung ke kedainya.

Otot

Trichan menyedari kemampuan uniknya itu semasa berusia tujuh tahun ketika dia menjual makanan di bawah sebatang pohon mangga.

Tanpa diduga, seekor tupai menjatuhkan sebiji mangga ke dalam kuali minyak panas hingga minyak itu terpercik mengenai sebahagian besar tubuh Trichan.

“Saya fikir akan cedera parah tetapi tiada apa yang berlaku,” kenangnya.

Kemampuan Trichan mendapat pengiktirafan Guiness Book of Records sebagai lelaki yang paling pantas mengambil ayam goreng dalam minyak bersuhu 480 Celcius dengan tangan iaitu sebanyak 20 ketul dalam tempoh seminit.

Berdasarkan ilmu fizik, kemampuan Trichan disebabkan kesan Leidenfrost iaitu fenomena pembentukan lapisan tipis pada cairan (atau kulit) untuk mencegah pertukaran suhu.

Tindak balas kimia ini terjadi secara spontan ketika cairan panas bersentuhan dengan kulit manusia walaupun pada suhu yang ekstrem.

Menurut Ketua Unit Jabatan Anatomi, Fakulti Kesihatan dan Perubatan, Universiti Putra Malaysia, Dr. Mohamad Aris Mohd. Moklas, tiada istilah kebal dalam bidang sains.

Ini kerana lapisan kulit manusia hanya mempunyai tisu yang lembut. Beliau menyangkal dakwaan bahawa tubuh manusia mengandungi besi tetapi bersetuju jika badan manusia mempunyai zat besi dalam bentuk terampai.

“Kebal mungkin dikaitkan dengan keadaan tubuh seseorang. Jika badannya berotot pejal maka potensi untuk dia luka lebih kecil,” terang beliau.

Lemak dalam badan turut menjadi faktor. Kata Aris, seseorang yang berotot, kurang lemak dalam tubuhnya.

“Lemak yang wujud di bawah kulit membuatkan badan seseorang lebih lembut dan potensi untuk luka lebih tinggi.

“Sama seperti beberapa individu yang berjalan di atas api, bukan disebabkan dia kebal tetapi kulit tapak kaki manusia sebenarnya lebih tebal berbanding kulit di bahagian lain,” ujarnya.

Tutur Aris, kepantasan seseorang berjalan di atas kaca pula membantu mengelakkannya daripada mendapat luka yang parah.

Namun, beliau menghormati pandangan yang mengatakan manusia boleh menjadi kebal kerana katanya, setiap kejadian pasti ada rahsia di sebaliknya

No comments:

Follow p a a p a a d a by e-mail