• RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin

VIP nikah tanpa rekod

Bagi menutup pernikahan kedua mereka daripada diketahui isteri pertama, segelintir VIP dikesan menggunakan sindiket nikah tidak bertauliah yang menyediakan pakej lengkap dengan sijil nikah kononnya dikeluarkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

Sindiket berkenaan yang dipercayai bergerak aktif sejak tahun lalu cuma mengenakan bayaran RM3,000 dan ia dikatakan mendapat sambutan hangat di kalangan orang kenamaan yang ingin berpoligami secara diam-diam berikutan sijil nikah palsu yang dikeluarkan itu.

Menurut sumber, sindiket itu bijak memancing pasangan supaya menggunakan khidmat mereka dengan meyakinkan pernikahan diuruskan bukan saja sah dari segi Islam, malah turut diperakui Jawi dengan sijil perkahwinan dan kad nikah dikeluarkan sebaik proses ijab kabul selesai.

 Sumber itu berkata, majlis ringkas ijab kabul kebiasaannya dilakukan di hotel sekitar ibu negara dan pengantin perempuan selalunya membawa saudara lelaki terdekat mereka sebagai wali. “Khidmat disediakan sindiket itu mendapat sambutan sebab pengantin lelaki tidak perlu bersusah payah melalui prosedur berpoligami yang agak ketat di pejabat agama atau membelanjakan kos yang tinggi untuk bernikah di negara jiran. “Bagaimanapun, penipuan sindiket itu terbongkar apabila perkahwinan pasangan yang menggunakan khidmat sindiket itu tidak kekal lama dan terpaksa bercerai,” katanya.

Menurutnya, selepas bercerai, isteri kedua yang dijatuhkan talak pergi ke pejabat Jawi untuk mengesahkan perceraian dan ketika itulah masalah mula timbul apabila dimaklumkan perkahwinannya tiada dalam rekod atau tidak pernah didaftarkan di Jawi. “Bila tiada dalam rekod pendaftaran perkahwinan, macam mana nak diuruskan atau didaftarkan perkahwinan?

Pada masa inilah bekas isteri terbabit berdepan masalah masalah besar kerana dia tidak berhak membuat tuntutan nafkah dan sebagainya,” kata sumber itu. Beliau yang menguruskan pusat aduan rumah tangga dan menyediakan khidmat kaunseling berkata, setakat ini pihaknya menerima aduan daripada lapan wanita yang menjadi mangsa sindiket berkenaan. “Sekali imbas, memang sijil dan kad nikah dikeluarkan sindiket itu seperti tulen, tapi selepas kami menyelidikinya betul-betul didapati tandatangan yang tertera di atas dokumen berkenaan bukan tandatangan individu yang mempunyai kuasa, sebaliknya tidak diketahui ia tandatangan siapa,” katanya.

 Berikutan itu, beliau meminta pihak berkuasa kuasa khususnya Jawi melakukan siasatan kerana ada kemungkinan wujud pembabitan ‘orang dalam’ yang mempunyai kaitan dengan sindiket berkenaan hingga mereka mampu mengeluarkan sijil dan kad akuan nikah yang nampak seperti tulen. “Tambahan pula, mengikut aduan lapan wanita yang menjadi mangsa sindiket itu mereka berurusan dengan individu yang sama dan lelaki itu turut mendakwa dia bekerja di Jawi,” kata sumber berkenaan.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jawi, Tuan Asmawi Tuan Umar berkata, orang ramai seharusnya sedar tiada jalan pintas untuk melakukan proses pernikahan, apatah lagi berpoligami, sebaliknya ia perlu melalui prosedur ditetapkan. “Tak ada ‘pintu belakang’ kepada sesiapapun termasuk golongan VIP untuk mempercepatkan proses poligami dan mahu mendapatkan kad serta sijil nikah. “Jika ada pihak mendakwa mampu menyediakan cara mudah tanpa mengikuti prosedur, bermakna ia satu penipuan kerana kad akuan nikah tulen hanya boleh dikeluarkan Jawi dan kad itu mempunyai ciri-ciri keselamatan tertentu,” katanya.

 Tuan Asmawi berkata, pihaknya memandang serius masalah itu dan akan menyiasat kes seumpamanya sebelum tindakan diambil. “Kita tahu dan kenal semua pendaftar nikah yang ada. Malah, ada pendaftar nikah yang kita terpaksa tamatkan perkhidmatan disebabkan faktor disiplin. “Sebagai contoh, ada pendaftar nikah dibuang disebabkan terlalu lama memerap pernikahan dilangsungkan mereka sehingga mempelai menanggung kelewatan pengeluaran sijil dan kad nikah terlalu lama,” katanya. Justeru, katanya, pihak yang mahu melangsungkan poligami dinasihatkan mengikut prosedur.

No comments:

Follow p a a p a a d a by e-mail