• RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin

Anak hasil sperma penderma

HIDEAKI KATO menemui identiti sebenar dirinya secara tidak sengaja. Semuanya bermula apabila beliau menjalani latihan perubatan kira-kira 10 tahun yang lalu. Doktor Jepun itu yang kini berusia 39 tahun telah menjalankan ujian darah terhadap ahli-ahli keluarganya.
Hasil keputusan ujian darah itu amat mengejutkan Kato apabila mengetahui beliau sebenarnya tiada pertalian darah dengan ayahnya.

Mengetahui kebenaran itu, Kato mengesyaki ibunya mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain memandangkan bapanya suatu ketika dahulu sering bertugas di luar daerah.
Kato kemudian menjalankan siasatan dengan lebih lanjut untuk mengetahui siapakah bapa kandungnya yang sebenar.
Namun, Kato akhirnya diberitahu, ibu bapanya sejak awal menyembunyikan kemandulan bapanya daripada beliau.
“Saya berasa separuh badan seolah-olah mahu rebah. Saya bertanya kepada diri sendiri, mungkinkah selama ini senyuman yang terukir di bibir ibu bapa ketika saya kecil adalah palsu?” soalnya.
Namun demikian, hasrat Kato untuk menjejaki lebih lanjut mengenai perkara tersebut terbantut kerana mendapat halangan daripada ibu bapanya.
Selain itu, tiada undang-undang yang membenarkan dia mengakses lebih lanjut mengenai butiran genetik di Jepun.
Begitupun, masalah penderma sperma tanpa nama adalah satu cabaran yang dikongsi oleh beribu-ribu orang di Jepun serta di negara lain yang menawarkan sperma tanpa nama.
Oleh itu, ramai yang mengalami masalah identiti apabila mahu menjejaki semula latar belakang mereka.
Mereka juga tertanya-tanya tentang kewujudan abang dan kakak.
Mereka berasa bimbang kemungkinan menjalani hubungan dengan adik-beradik sendiri.
Kebimbangan itu telah menyebabkan ramai kanak-kanak yang mengandung menerusi penderma sperma tanpa nama menyarankan amalan tersebut diharamkan.
“Saya berharap ia diharamkan. Mengapakah ia diterima pakai? Bagi saya, teknologi itu satu cara untuk berpura-pura bahawa anda mempunyai ‘keluarga’ sedangkan ia sebenarnya menyembunyikan kemandulan.
“Saya tidak mahu anak-anak hasil penderma sperma tanpa nama berasa sedih seperti mana yang saya alami sekarang,” tegas Kato.


KATO secara tidak sengaja mendapati dia tidak mempunyai pertalian darah dengan bapanya sewaktu menjalankan ujian darah.



Tidak bersendirian
Seorang lagi mangsa yang lahir daripada proses yang sama, Olivia Pratten yang berasal dari Kanada telah memfailkan tuntutan mahkamah untuk mengetahui keturunan genetiknya.
Pada tahun 2011, Britain telah menggubal undang-undang untuk membolehkan kanak-kanak yang dilahirkan menerusi proses sperma penderma mengetahui identiti ibu bapa kandung mereka.
Mengikut laporan akhbar Kanada, undang-undang tersebut digubal pada bulan November tahun lalu tetapi Pratten boleh membawa kes itu ke Mahkamah Tinggi.
“Industri kesuburan suka menipu dan mendakwa masih belum ada penderma. Ia sememangnya palsu. Negara-negara lain seperti New Zealand, Sweden, United Kingdom, Australia telah mengharamkan teknologi ini,” katanya.
Pada tahun 2005, Britain mengubah undang-undang supaya individu yang lahir daripada proses itu boleh mengetahui tentang identiti mereka.
Di negara Jepun, terdapat peraturan baharu bagi doktor menjalankan prosedur berkenaan.
“Ia lebih kompleks untuk menjalankan sistem terbuka, tetapi hak dan keperluan kanak-kanak yang dilahirkan mesti disimpan.
“Saya bersimpati kepada mereka yang menghadapi kemandulan, tetapi keinginan untuk mempunyai keturunan genetik perlu dihormati bagi ibu bapa dan kanak-kanak,” ujarnya.
Pelopor rawatan kesuburan di Jepun, Netsu Yahiro berkata, beliau tidak boleh mengabaikan keinginan pesakit untuk mempunyai anak.
“Jika seorang kanak-kanak yang lahir daripada penderma sperma menghadapi krisis identiti, ia akhirnya akan meredakan kemarahan jika terdapat kepercayaan antara anak-anak dan ibu bapa,” kata Netsu.
Begitupun, beliau bersetuju kanak-kanak harus mempunyai hak untuk mengetahui sejarah genetik mereka.
Sementara tu, Profesor dari Universiti Tezukayama, Mari Saimura terpilih untuk mewujudkan undang-undang mengenai isu itu.
“Jepun hanya boleh meluluskan teknologi itu selepas menetapkan garis panduan untuk menjamin hak rakyat mengetahui identiti mereka,” katanya.
Namun dalam kes Kato, peluang untuk dia mengetahui siapakah bapa kandungnya masih lagi kabur.
“Saya tidak pernah lupa tentang bapa biologi saya. Saya sentiasa membawa senarai penderma. Saya cuma mahu mengetahui asal usul genetik saya,” jelas Kato.


No comments:

Follow p a a p a a d a by e-mail