• RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin

Pekerja Islam diarah masak daging babi

"Tiga tahun saya masak daging babi sampai saya kata 'Ya ALLAH, ampunkan aku'," kata Eka, 23, yang menjadi mangsa penderaan majikannya.

Warga asing beragama Islam berasal dari Jawa Tengah, Indonesia itu berkata, dia terpaksa berbuat demikian kerana takut dicederakan majikan restoran tempat dia bekerja.
"Saya kena masak daging babi atau sup tulang babi. Bukan itu saja, ada ayam ke, kasut ke, dia akan lempar pada saya. Lambat mop lantai, dia akan tendang saya," katanya yang sudah berkahwin dan punyai seorang anak yang tinggal di Indonesia.

Eka merupakan satu daripada sembilan wanita pekerja sebuah restoran yang berjaya diselamatkan Jabatan Imigresen negeri, semalam.

Tujuh wanita warga Indonesia dan dua dari Myanmar berusia antara 22 dan 31 tahun didakwa seringkali dikasari majikan dan isterinya, biarpun hanya melakukan kesalahan kecil.

Mereka turut ditempatkan dalam satu bilik dan tidak dibenarkan keluar dari premis sejak mula bekerja.

Lebih menyedihkan apabila pekerja Islam dipaksa memasak hidangan daging babi untuk pelanggan dan akan disepak, ditampar atau dibaling dengan kasut jika enggan melakukannya.

Timbalan Pengarah Jabatan Imigresen negeri, Mohammad Azlan Jawawi berkata, pihaknya bergegas ke restoran berkenaan selepas menerima aduan orang ramai bahawa mangsa dikurung majikan.

Menurutnya, serbuan dilakukan kira-kira 12.30 tengah hari mendapati kesemua mereka sedang bekerja dan memiliki permit sah menetap di negara ini.

“Majikan memberi kerjasama sepenuhnya dan kesemua pekerja asing ini menangis kegembiraan apabila mendapati pihak kami hadir.

“Kita melihat pintu tempat mereka tidur berkunci dari luar, cuma didapati mereka tidak diberikan kebebasan, dipukul, tidak boleh keluar malam dan perlu berada di premis iaitu sembilan orang tidur dalam satu bilik,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal juga mendapati mereka dijanjikan bayaran gaji RM900 semasa ditawarkan bekerja,  namun menjadi episod hitam apabila gaji akan dipotong antara RM20 hingga RM50 pada setiap kesalahan dilakukan.

Malahan, mereka tidak pernah mengetahui bayaran gaji mencukupi atau sebaliknya kerana gaji dibayar secara terus ke dalam bank, selain majikan akan membeli barangan keperluan dengan memotong gaji bulanan.

Mohammad Azlan berkata, siasatan akan dilakukan di bawah Akta Anti Pemerdangan Orang berdasarkan beberapa ciri yang berlaku selain majikan akan dipanggil Jabatan Imigresen untuk siasatan lanjut.

No comments:

Follow p a a p a a d a by e-mail