• RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin

Keistimewaan 2 Bulan Menjelang Ramadan

Setiap bulan dalam Islam yang dijadikan oleh Allah SWT mempunyai kelebihan dan kebaikan. Umat Islam digalakkan mencari pahala dan kelebihan tersirat dalam bulan itu sebagai bekalan di hari akhirat. Keistimewaan setiap bulan Islam seharusnya dicari dan difahami untuk mendapat keberkatan-Nya.

Panduan ibadah juga harus dipelajari dalam menjalani kehidupan untuk mengabdikan diri kepada Allah. Menjauhi syirik kepada Allah. Mensyukuri nikmat Allah, bertakwa dan bertawakal kepada Allah, menegakkan amar makruf dan nahi mungkar. Membentuk insan salih, mewujudkan kemakmuran di muka bumi dan mewujudkan kebahagiaan hidup.

Tiga bulan Islam iaitu bulan Rejab, Syaaban dan Ramadan mempunyai keistimewaan dan terkandung pahala yang tersirat. Umat Islam sentiasa menantikan ketibaan bulan mempunyai keistimewaan, terutama yang sentiasa berusaha mencari keredaan Allah dengan melakukan pelbagai amal soleh.



Selepas menyambut bulan Rejab, umat Islam menyambut bulan Syaaban yang penuh dengan keberkatan dan kebaikan. Hal ini dijelaskan oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA, sabda baginda yang bermaksud: “Rejab adalah bulan Allah, Syaaban adalah bulanku (Rasulullah) dan Ramadan adalah bulan umatku.” Persediaan mental, fizikal Sesungguhnya, ketiga-tiga bulan iaitu, Rejab, Syaaban dan Ramadan wajar dihayati dan dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya dengan pelbagai amalan yang baik bagi mendapatkan pahala untuk kebaikan di akhirat kelak. Bulan Syaaban adalah persediaan diri dari segi mental dan fizikal untuk menghadapi Ramadan yang bakal menjelang.

Terdapat pelbagai fadilat dan kelebihan pada bulan Syaaban apabila melakukan amalan dan ibadah kepada Allah. Sebagai contoh ibadat puasa di bulan Syaaban yang pernah dilakukan oleh Nabi ketika hayatnya.


Diriwayatkan Sayidatina Aisyah RA, menyatakan, tidak pernah Rasulullah berpuasa lebih banyak melainkan dalam bulan Syaaban (selain bulan Ramadan); sesungguhnya baginda berpuasa sebulan penuh.” (Riwayat Bukhari dan Muslim) Daripada keterangan hadis ini, jelaslah amalan berpuasa amat digalakkan kepada umat Islam bagi meraih pahala pada bulan Syaaban. Inti pati dan keistimewaan bulan Syaaban juga dijelaskan dalam hadis seterusnya.

Bulan amalan diangkat Sementara dalam sebuah hadis yang lain, Usman bin Zaid menceritakan: “Saya bertanya kepada Rasulullah, wahai Rasulullah, saya tidak pernah menyaksikan banyaknya puasa tuan pada bulan lain seperti pada bulan (Syaaban) di mana ramai manusia lalai mengenainya iaitu di antara bulan Rejab dan Ramadan. Ini adalah bulan segala amalan diangkat kepada Tuhan pemilik sekalian alam. Oleh itu saya (baginda) amat suka kiranya amalan saya diangkat ketika saya sedang berpuasa.” (Riwayat Imam Ahmad dan An-Nasai) Oleh sebab itu, setiap umat Islam sangat mengharapkan agar amal ibadah masing-masing yang diangkat ke hadrat Allah pada bulan Syaaban itu diterima. Oleh itu, wajarlah kita sekalian memperbanyak amal ibadah dengan penuh tawaduk, ikhlas dan takwa kepada-Nya. Antara amalan ini adalah berpuasa, bersedekah dan pelbagai amal jariah lain agar Allah menaikkan darjat kita di dunia dan akhirat.

Dalam sebuah hadis Saidatina Aisyah RA, menceritakan Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah turun pada malam pertengahan (nisfu) Syaaban ke langit dunia dan mengampunkan dosa orang yang lebih banyak daripada bilangan bulu kambing Bani Kalb.” (Riwayat At-Tirmizi dan Ibnu Majah) Selain itu, diriwayatkan juga, bulan Syaaban dinamakan kerana dalam bulan ini terdapat amat banyak kebajikan dan puasa yang lebih afdal ialah puasa dalam bulan Syaaban. Pelbagai amalan lain boleh dilakukan antaranya apabila tiba malam Nisfu Syaaban, maka pada malam ini digalakkan berjaga, mendirikan solat beribadat dan berpuasa pada siangnya.

Diriwayatkan daripada Ka’abul-Akhbar bahawa Allah mengutus malaikat Jibril pada malam Nisfu Syaaban ke syurga. Allah memerintahkan supaya syurga dihiasi dengan seindah-indahnya. Malaikat Jibril berkata kepada syurga, sesungguhnya Allah memerdekakan ahli neraka pada malam ini sebanyak bilangan bintang di langit, sebanyak jumlah hari dunia dan malamnya, sebanyak daun-daun pokok, seberat gunung-gunung dan sebanyak-banyak pasir.

Diceritakan, pada zaman Khalifah Umar Abdul Aziz memberitahu wakilnya di Basrah: “Hendaklah kamu perhatikan empat malam dalam satu tahun, kerana sesungguhnya Allah membukakan pintu rahmat-Nya dengan seluas-luasnya iaitu malam pertama bulan Rejab, malam Nisfu Syaaban, malam Aidilfitri dan Aidiladha.


Solat sunat Nisfu Syaaban Selain berpuasa, umat Islam juga digalakkan melakukan solat sunat pada malam Nisfu Syaaban, membaca surah Yasin. Umat Islam juga digalakkan beristighfar, berselawat, berzikir, bertaubat dan memohon segala amal ibadat kita diangkat dan dipersembahkan kepada Allah untuk mendapatkan keredaan-Nya.

Dalam bulan Syaaban juga kita digalakkan memohon keampunan untuk kedua-dua ibu bapa kita, sama ada yang masih hidup atau yang meninggal dunia. Selain itu, memohon keampunan untuk sahabat handai Muslimin dan Muslimat. Seterusnya membaca tasbih, tahmid dan berselawat ke atas Nabi dan membaca al-Quran dan melakukan solat sunat Tahajud, Tasbih dan Hajat bagi mengisi kelebihan dan kebaikan bulan Syaaban.


Daripada Anas RA, umat Islam digalakkan membaca doa seperti sabda Nabi yang bermaksud: “Ya, Allah Ya Tuhan kami, anugerahkan keberkatan waktu kami dalam bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikan kami Ya Allah hingga bulan Ramadan (yakni panjangkan umur kami Ya Allah, sehingga kami dapat bertemu dengan Ramadan).” (Riwayat Ahmad dan At Tabrani) Kesimpulannya, ufalsafah pendidikan dalam Islam berteraskan kepada al-Quran dan hadis. Untuk mendapat keberkatan dalam setiap hari dan bulan dalam Islam mestilah melalui ilmu dan kefahaman yang mendalam. Konsep pendidikan yang berasaskan wahyu Ilahi mestilah menjadi panduan dan pedoman hidup umat Islam di dunia dan akhirat.


Penulis berkelulusan PhD Persuratan Melayu, UKM
 Dr Aminudin Mansor


No comments:

Follow p a a p a a d a by e-mail