• RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin

Seni sastera sebagai terapi

Penduduk Palestin menjadikan muzik sebagai medium terapi dan motivasi diri.

Di petang yang hening, kelihatan sekumpulan rakyat Palestin berkumpul untuk menonton tarian France’s Maguy Marin di pentas di Istana Budaya Ramallah, Tebing Barat.

Pertunjukan itu adalah prelude kepada program Festival Tarian Kontemporari Ramallah (RCDF) menampilkan 110 syarikat tarian antarabangsa dan lebih 1,200 artis membuat persembahan di Ramallah pada hujung tahun ini.


Bukan sekadar pertunjukan hiburan, RCDF adalah festival seni terbesar dianjurkan sejak pihak berkuasa Palestin mendapat status pemerhati bukan ahli di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu, tahun lalu.


Sejak itu, wilayah Palestin mengalami onar apabila tentera Zionis melancarkan serangan ke atas Gaza, Tebing Barat diancam rampasan penempatan di kawasan strategik E1 hingga mencetuskan gelombang berbalas serangan.

“Perang ke atas Gaza dan rampasan penempatan membuatkan perasaan saya berkelocak dan sengsara terutama apabila melihat penindasan dan ketidakadilan,” kata seorang pelakon, penulis dan pemuzik  Palestin, Sami Metsawi.

Pentas teater sebagai terapi

Menerima kesan keterlaluan dari tindakan kejam rejim Zionis yang mengamalkan diskriminasi melampau seperti mengadakan sekatan, pemeriksaan badan dan pengasingan bas, perkara itu memberi kesan mendalam terhadap penduduk Palestin.

Susulan itu, pencinta seni Palestin mengambil inisiatif memperkenalkan Freedom Bus yang mempromosikan Freedom Theatre of Jenin dengan membawa medium hiburan dari kampung ke kampung sekitar Tebing Barat bagi memberi sokongan kepada penduduk.

Penganjurnya, Ben Rivers berkata, kumpulan ini menyalurkan hiburan melalui sastera seni dengan berkongsi cerita mengenai kisah kehidupan, melakonkan adegan drama bertujuan memulihkan semangat penduduk kampung yang tertindas.

“Kami paparkan kisah pengorbanan sebagai motivasi dan memberi semangat kepada mereka untuk meneruskan perjuangan bagi membela nasib rakyat dan negara,” katanya.

Menurutnya, lakonan teater bukan sahaja membantu penonton, ia juga dapat membantu pelakon itu sendiri yang kebanyakannya dari kalangan penduduk Palestin.

Beliau berkata, sebahagian daripada cabaran kehidupan rakyat Palestin paling ketara adalah kekangan ekonomi yang dikongkong ketat berdasarkan perjanjian dengan Israel.

“Secara umum, bekerja dalam bidang teater dapat memberi kekuatan sekali gus menghilangkan trauma,” katanya.

Sebahagian besar ekonomi Palestin, bergantung kepada dana dari negara antarabangsa. Laporan terbitan Tabung Kewangan Antarabangsa baru-baru ini jelas menunjukkan, kadar pengangguran umum meningkat kepada 23 peratus di Tebing Barat dan 32 peratus di Gaza.

Masalah ini juga memberi tekanan kepada pusat kebudayaan di Tebing Barat.

Pengarah eksekutif Kumpulan First Ramallah iaitu salah satu organisasi perancangan RCDF, Khaled Elayyan berkata, dana diperuntukkan pada tahun ini terlalu rendah.

“Walaupun terdapat kekangan dana namun penghasilan seni perlu diteruskan. Kita perlu cekap mengawal perbelanjaan,” katanya.

Teater memupuk masyarakat

Persembahan teater mampu membentuk persahabatan dari pelbagai peringkat umur. Teater Al-Kasaba sebagai contoh, adalah satu-satunya lokasi di Ramallah di mana penduduk Palestin boleh  berkumpul dan berbincang mengenai karya seni dan isu hiburan.

“Penayangan teater mengambil kira faktor umur. Teater yang biasa dipersembahkan selalunya mengikut tema. Lokasi ini juga dijadikan tempat berkongsi pandangan, berbincang dan melihat perkara yang berbeza,” kata Ketua Pengarahnya, George Ibrahim.

Menurutnya, persembahan teater dan penayangan filem ini penting bagi memberitahu penduduk Palestin bahawa bukan mereka sahaja menjadi mangsa keganasan tetapi penduduk dunia yang lain juga terlibat sama menjadi mangsa dan masalah itu turut dirasakan oleh seluruh penduduk antarabangsa.

“Persembahan teater banyak berkisar tentang halangan Israel, perpisahan, penghijrahan dan kesengsaraan serta trauma yang dialami penduduk Palestin. Segala masalah ini akan tercatat menjadi sejarah dan harus dipentaskan,” katanya.

Sejarah panjang

Perhatian media menyifatkan, aktiviti kreativiti masyarakat Palestin merupakan perjuangan sivik. George Ibrahim berkata, penyair, pelakon, pemuzik dan artis-artis lain sentiasa memainkan peranan penting dalam memperjuangkan populariti rakyat  Palestin.

“Hakikatnya pelbagai bentuk perjuangan bersenjata telah wujud di Palestin selama lebih 130 tahun. Perjuangan itu memberi kesan terhadap kebudayaan yang boleh dilihat melalui grafiti yang dilukis atau nukilan syair dalam melahirkan inspirasi perjuangan dan jihad. Karya seni ini boleh dilihat di Bethlehem dan Ramallah,” katanya.

Beliau berkata, kelahiran grafiti ini adalah identiti penduduk Palestin sejak berzaman.

“Melalui seni, kita boleh menceritakan kisah kehidupan dan perkara itu lebih baik dari berbicara mengenai soal politik. Kreativiti Palestin, khususnya di Tebing Barat adalah ‘penawar’ kepada keganasan. Mengekalkan imaginasi dan kreativiti dalam keadaan tertindas adalah pencapaian luar biasa. Ianya adalah kemenangan sebenar semangat rakyat di bumi Palestin,”  katanya.


No comments:

Follow p a a p a a d a by e-mail